suria

Tewaskan City, Arsenal Berada Di Landasan Juara - Wenger

Arsene Wenger
ARSENAL menang dalam perlawanan penting menentang Manchester City walau mencatatkan gol tipis 2-1.

Kemenangan ini sekali gus meluaskan peluang Arsenal untuk tampil sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Tambahan tiga mata selepas perlawanan awal pagi Selasa membawa The Gunners semakin dekat dengan Leicester City yang berada di puncak liga dengan hanya perbezaan dua mata.

Sementara itu Man City terus berada di posisi ketiga, empat mata di belakang dengan The Gunners.

Dengan situasi di mana kelab-kelab pilihan juara dilihat tidak konsisten pada musim ini, Arsenal tampil berbeza kerana menjadi satru-satunya kelab yang tampil konsisten, memiliki peluang lebih besar untuk menjadi juara.

Ditambah pula dengan pesaing utama mereka saat ini hanya Leicester City, kelab itu dilihat masih belum memiliki mentaliti untuk bergelar juara.

Bagaimanapun pengurus Arsenal, Arsene Wenger menolak kenyataan ini.

Namun, dia tidak menolak hakikat bahawa pasukannya berada di landasan tepat untuk mengakhiri penantian mereka yang selama ini dahagakan gelaran yang tidak pernah diraih sejak 2003-2004.

"Terlalu awal untuk membicarakan tentang gelaran juara, tapi kami berada di landasan itu. Ini memberikan kami kepercayaan diri. Saya percaya, kami memiliki semangat yang kuat," ujar Wenger selepas perlawanan.

Arsenal sangat berterima kasih kepada Theo Walcott dan Olivier Giroud yang menyumbat masuk gol pada perlawanan ini, sehingga gol balas daripada Yaya Toure menjadi sia-sia.

"Kami sedar betapa pentingnya perlawanan ini. Theo Walcott menyumbangkan satu gol menakjubkan yang membuatkan Joe Hart terkejut. Sementara Olivier Giroud selalu menunjukkan betapa pentingnya dirinya di setiap perlawanan," kata Wenger memuji dua pemainnya itu.


Arsenal berpotensi mengakhiri tahun 2015 dengan berada di puncak liga. Syaratnya, mereka harus memenangi dua baki perlawanan menentang Southampton dan Bournemouth.

SEmentara itu Leicester City akan berdepan dua lagi lawan iaitu Liverpool dan Manchester City.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain