suria

Bantu Malaysia Layak Ke Piala Asia Sebelum Gantung But - Safiq

Safiq Rahim.

PETALING JAYA: "Saya harap dapat bantu Malaysia layak ke Piala Asia atau meningkatkan bola sepak negara pada kedudukan terbaik sebelum menamatkan karier selaku pemain," kata Safiq Rahim.

Demikian luahan kapten skuad Harimau Malaya itu selepas dinobat selaku Pemain Paling Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 di sini, malam Jumaat.

Safiq, 28, yang juga kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengakui, beliau sudah mengecapi pelbagai kejayaan selaku pemain bersama pasukannya serta skuad kebangsaan, namun belum pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Selangor itu menjelaskan keputusannya menyambung kontrak bersama JDT sehingga 2019 disebabkan pengurusan mantap terutamanya kebajikan pemain yang sentiasa diutamakan selain semangat kekeluargaan yang terjalin dalam pasukan berkenaan.

Menyentuh mengenai dua anugerah yang dimenanginya, Safiq menyifatkan ia sebagai pendorong semangat untuk mengecapi lebih banyak kejayaan bersama JDT pada musim depan.

"Bagi saya, ini rezeki untuk diri sendiri, isteri serta anak sulung kami. Banyak kenangan manis yang dicipta bersama JDT.

"Tidak lupa juga kepada keluarga JDT (pemain serta pengurusan pasukan) dan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang banyak membantu saya selama ini," kata Safiq.

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar yang dicalonkan dalam kategori Pemain Tengah Terbaik menetapkan sasaran untuk membantu skuad Helang Merah berada dalam kelompok lima pasukan terbaik saingan Liga Super 2016.

Kedah naik ke Liga Super musim depan selepas menjuarai Liga Perdana, musim ini.

"Kami perlukan satu komitmen yang tinggi kerana saingan Liga Super memang sukar dan tahapnya juga lain," kata anak jati Sungai Petani itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Keputusan Bundesliga

Artikel Lain