suria

Guardiola Sudah Putuskan Kelab Pilihannya Musim Depan

Pep Guardiola.

PENGURUS Bayern Munich, Pep Guardiola telah mengesahkan yang dia sudah pun memutuskan kelab manakah yang menjadi pilihannya, tetapi enggan mengumumkannya sekarang.

Kontraknya dengan Bayern akan tamat sebaik sahaja musim ini selesai dan Guardiola telah memaklumkan kepada pengerusi kelab tersebut yang dia tidak akan menandatangani pelanjutan kontrak selama tiga tahun lagi.

Pengumuman rasmi mengenai masa depannya akan dibuat selepas perlawanan liga Sabtu ini menentang Hannover.

Bercakap dalam sidang akhbar pada Jumaat, Guardiola mengesahkan yang satu keputusan telah dibuat.

Malah Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge telah pun dimaklumkan mengenai keputusannya itu.

Bagaimanapun media-media utama Eropah melaporkan yang Guardiola dijangka menerima pelawaan Manchester City sebagai pengurus baru.

Manakala tempatnya di Bayern akan diambilalih oleh Carlo Ancelotti yang kini sedang mengambil cuti rehat selepas kontraknya bersama Real Madrid tidak disambung musim ini.

"Rummenigge tahu segala-galanya dan apa yang telah diputuskan. Pengumuman akan dibuat selepas perlawanan menentang Hannover nanti," kata Guardiola pada Jumaat.

Kata jurulatih itu, tumpuannya kini hanya kepada perlawanan menentang Hannover. 

Guardiola, 44, telah menolak tawaran gaji sebanyak £280,000 seminggu untuk terus kekal bersama juara Bundesliga itu selama tiga tahun lagi.

Sebaliknya City bersedia menawarkan gaji jauh lebih tinggi dari itu sekaligus menjadikannya sebagai pengurus bolasepak dengan gaji paling tinggi di dunia.

Sepanjang tiga musim bersama Bayern, Guardiola telah memenangi tiga kejuaraan liga berturut-turut dan membawa kelab itu ke separuh akhir Piala Eropah dua kali berturut-turut.

Misi terakhirnya bersama Bayern ialah untuk muncul juara Eropah musim ini.

Bayern diundi untuk bertemu naib juara musim lalu Juventus di pusingan kalah mati 16 pasukan terakhir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perancis

Artikel Lain