suria

Peter Cech Azam Juarai EPL Bersama Arsenal

BINTANG antarabangsa Republik Czech, Peter Cech yang berpindah ke Arsenal dari Chelsea baru-baru ini berazam  memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama pasukan baharunya.

Sepanjang 11 tahun berkhidmat di Stamford Bridge, Cech berjaya memenangi kejuaraan tersebut sebanyak empat kali bersama Chelsea, manakala  Arsenal hanya memenangi tiga piala FA.

"Saya mempunyai banyak cita-cita dan ia sama dengan apa yang Arsenal mahukan.

"Ini merupakan masa yang menarik bagi saya kerana ini adalah  projek yang penyokong serta kelab mahukan iaitu memenangi kejuaraan liga.

"Saya akan menggunakan pengalaman serta kebolehan untuk membantu kelab mencapai sasaran itu," katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu menjelaskan, pengalaman lebih daripada 10 tahun beraksi di EPL itu berguna kerana dia tahu apa yang boleh dijangkakan daripada setiap pasukan yang bersaing di dalam liga itu.

"Saya percaya EPL adalah liga bola sepak terbaik di dunia dan setelah beraksi dalam jangka masa yang lama, saya tahu apa yang dijangkakan daripada kelab-kelab lain.

"Ia adalah satu cabaran yang menarik untuk bersaing dengan pemain-pemain terbaik dunia dan saya sentiasa mahu beraksi dan menjadi sebahagian daripada liga ini," kata Cech.

Cech mendedahkan salah satu sebab utama dia memilih untuk menyertai Arsenal kerana dia dan pengurus pasukan, Arsene Wenger mempunyai matlamat yang sama.

"Berpeluang beraksi di dalam pasukan yang mempunyai motivasi bersaing bagi merebut kejuaraan liga adalah cabaran bagi saya.

"Selepas saya berbincang dengan Wenger mengenai cita-cita dan motivasi kelab ini, saya mengambil keputusan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini," katanya lagi.

Penjaga gol itu juga percaya, Arsenal mampu bersaing lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara selepas mereka disingkirkan oleh Monaco berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan musim lalu.

"Saya percaya telah menyertai pasukan yang mahukan kejayaan dan menjadi pasukan terbaik Eropah dan ini adalah projek yang menarik bagi saya," kata Cech lagi.



Arsenal, Peter Cech, EPL, Chelsea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain