suria

Bekas Juara Wimbledon Lleyton Hewitt Ucap Selamat Tinggal Selepas Tewas

Hewitt mengucapkan selamat tinggal kepada para peminatnya di Kejohanan Wimbledon selepas tewas di pusingan pertama pada Isnin.

> Pemain Australia itu tewas kepada Jarkko Nieminen dalam pusingan pertama

> Hewitt tewas 6-3 3-6 6-4 0-6 9-11 selepas bermain mati-matian

> Ini adalah penyertaannya yang terakhir di Wimbledon

> Hewitt adalah juara 2002 menewaskan David Nalbandian

BEKAS juara Wimbledon 2002, Lleyton Hewitt menamatkan penyertaannya dalam kejohanan berprestij ini dengan mengucapkan selamat tinggal selepas tewas pada pusingan pertama di tangan Jarkko Nieminen 6-3 3-6 6-4 0-6 9-11.

Dia bermain mati-matian dan memberikan persembahan yang terbaik sebelum menyerah kalah dalam lima set.

Hewitt yang berasal dari Australia, pertama kali menyertai kejohanan Wimbledon pada tahun 2000 dan muncul juara dua tahun kemudian dengan menumpaskan David Nalbandian, dari Argentina 6–1, 6–3, 6–2.

Dengan memenangi Wimbledon pada tahun itu, Hewitt menjadi pemain Australia yang pertama selepas Pat Cash menjuarainya pada 1987. Bagaimanapun pada tahun berikutnya (2003) dia mencatat sejarah sebagai penyandang juara yang pertama dalam era moden tewas di pusingan pertama. 

Dia juga akan dikenang sebagai pemain nombor satu dunia paling muda dalam sejarah tenis iaitu pada usia 20 tahun 13 tahun yang lalu. Dia kini menduduki ranking ke-117 dunia.

Keseluruhannya dia telah mengambil bahagian dalam 15 kejohanan Grand Slam ini. Sepanjang kariernya juga Hewitt telah memungut hadiah kemenangan melebihi AS$20 juta dengan memenangi 30 kejohanan.

Kini pada usia 34 tahun, lutut Hewitt menyerah kalah kepada permainan yang memerlukan kekuatan fizikal untuk bergerak di seluruh gelanggang dan dia menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka.

Namun begitu, dia tidak masuk ke gelanggang hanya untuk sekadar mengambil bahagian sebaliknya Hewitt telah memberikan segala-galanya berjuang selama hampir empat jam dalam perlawanan lima set.

Hanya pada dua set yang terakhir Niemenen mengambil peluang di atas keletihan Hewitt untuk menamatkan karier lawannya itu buat kali yang terakhir di atas gelanggang rumput ini.

Jika dia menang ke atas Nieminen Hewitt dijadualkan untuk bertemu dengan pemain nombor satu dunia hari ini, Novak Djokovic, yang menyifatkannya sebagai pesaing paling hebat yang enggan menyerah kalah dengan mudah dalam sejarah tenis moden.

Artikel Sebelum

Artikel Lain