suria

Liverpool Sahkan Pembelian Penyerang Brazil Roberto Firmino

Penyerang sensasi Brazil yang baru, Roberto Firmino kini milik Liverpool.

LIVERPOOL meneruskan kerancakan mereka membeli pemain baru dengan yang terbaru berjaya mendapatkan khidmat penyerang Brazil, Roberto Firmino dari kelab Jerman Hoffenheim pada harga £29 juta.

Pembelian ini bakal menyaksikan Liverpool diperkukuhkan dengan dua orang gandingan penyerang antarabangsa Brazil. Seorang lagi penyerang Brazil dalam skuad Liverpool ialah Philippe Coutinho. Firmino telah terpilih sembilan kali mewakili Brazil.

Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC), Firmino akan menandatangani kontrak selama lima tahun sementara Portal berita Mail Online pula melaporkan yang Firmino bakal menerima bayaran gaji sehingga £100,000 seminggu.

Namun pembelian Firmino bergantung kepada ujian perubatan yang hanya akan dapat dilakukan selepas temasya Piala Amerika yang sedang berlangsung di Chile sekarang.

Pemain berusia 23 tahun itu kini berada bersama skuad kebangsaan Brazil pada temasya tersebut. Brazil layak ke peringkat suku akhir.

Firmino telah menjaringkan 47 gol dalam 151 perlawanan mewakili Hoffenheim sepanjang empat musim dia bermain di Bundesliga.

Pada temasya Piala Amerika yang sedang berlangsung sekarang, Firmino telah digandingkan bersama Coutinho selepas Neymar digantung empat perlawanan.

Mereka telah digandingkan dalam perlawanan menentang Venezuela yang menyaksikan Firmino menjaringkan satu gol. Brazil menang 2-1 dalam perlawanan tersebut.

Dengan ketiadaan Neymar, gandingan Firmino-Coutinho sekali lagi akan diturunkan dalam perlawanan suku akhir menentang Paraguay, Sabtu ini.

Firmino kini menjadi pemain kedua termahal Liverpool selepas Andy Carroll yang dibeli dari Newcastle United pada tahun 2011 dengan nilai perpindahan sebanyak £35 juta.

Carroll bagaimanapun kini telah berpindah ke kelab West Ham United selepas gagal menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama Liverpool.

Liverpool turut mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa England Adam Lallana pada tahun lalu dengan membayar sebanyak £25 juta kepada Southampton.

Sebelum Firmino, Liverpool telah pun berjaya mendapatkan tandatangan penyerang Burnley,  Danny Ings, penjaga gol baru Adam Bogdan dan pemain pertahanan Joe Gomez dan pemain tengah England, James Milner dari Manchester City.

Mereka masih belum membuat keputusan sama ada akan menjual penyerang sensasi, Raheem Sterling yang enggan memperbaharui kontrak walaupun ditawarkan gaji sebanyak £100,000 seminggu.

Sterling difahamkan mahu berpindah ke mana-mana kelab London kerana dia berasal dari bandar tersebut.

REKOD PEMBELIAN PEMAIN BARU LIVERPOOL:

1) Andy Carroll - £35 juta - Januari 2011

2) Roberto Firmino - £29 juta - Jun 2015

3) Adam Lallana - £25 juta - Julai 2014

4) Luis Suarez - £22.8 juta - Januari 2011

5) Fernando Torres - £20.2 juta - Julai 2007



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain