suria

Phil Jones Akan Tandatangani Kontrak Baru Dengan Manchester United

Phil Jones kini menjadi tonggak utama di barisan pertahanan United.

> Perjanjian baru itu akan dimeteraikan minggu ini

> Phil Jones difahamkan bakal menerima gaji baru setaraf dengan Chris Smalling

> Nilai kontrak baru itu nanti dikatakan berjumlah £80,000 seminggu

> Kontrak pemain berusia 23 tahun itu akan tamat hujung musim depan

MANCHESTER United bakal memeteraikan kontrak baru bersama pemain pertahanan mereka Phil Jones dalam minggu ini untuk mengikatnya selama lima tahun lagi di Old Trafford.

Jones, 23, yang juga pemain pertahanan antarabangsa England dikatakan bakal memperolehi gaji pokok setaraf dengan rakan sepasukannya, Chris Smalling iaitu sekitar £80,000 seminggu.

Pemain itu menyertai United dari Blackburn Rovers dengan nilai perpindahan £16 juta pada 2011 ketika kelab itu di bawah era Sir Alex Ferguson.

Kontrak lamanya akan tamat menjelang hujung musim akan datang dan jika United tidak memperbaharui kontraknya sekarang, Jones akan menjadi pemain bebas dan berhak menyertai kelab lain secara percuma.

Sejak United kehilangan khidmat Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic musim lalu, pertahanan United agak goyah ekoran kecederaan yang dialami oleh sebahagian besar pemain-pemain pertahanan mereka seperti Smalling, Jonny Evans dan Jones sendiri.

Namun, di sebalik kemelut itu semua, rekod pertahanan United di bawah Louis Van Gaal masih berjaya muncul sebagai yang keempat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Sejak Jones kembali cergas dan pulih dari kecederaan, gandingannya bersama Smalling yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England disifatkan sebagai yang terbaik selepas era gandingan Ferdinand-Vidic.

Artikel Berikut

Artikel Lain