suria

FAM Perlu Kaji Semula Perlawanan Dalam Bulan Ramadan - FAP

GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula jadual perlawanan bola sepak Liga Perdana yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.

Presidennya Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berpendapat FAM perlu menangguhkan semua perlawanan yang berlangsung pada bulan Ramadan ini kerana dilihat sebagai tidak adil kepada pemain mahu pun penyokong. 

"Kalau kita lihat jumlah penyokong yang hadir pada malam ini hanya 1,100 orang sahaja. Dulu kita boleh dapat (jumlah kehadiran penyokong) 60,000 ke 70,000 orang. Sekarang nak tampung perbelanjaan pun tak boleh, tak kan FAM nak bayar.

"FAM perlu mengkaji semula jadual perlawanan. Saya bersetuju jika perlawanan sepanjang bulan Ramadan ini ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam Isnin malam.

Pulau Pinang berjaya memintas kedudukan Sabah pada tangga kedua liga setelah mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas SPA Putrajaya FC di Stadium Bandaraya,

Ketika ditanya tentang mutu permainan skuad Harimau Kumbang dalam perlawanan itu, Nazir Ariff berkata pasukan itu menunjukkan persembahan yang baik dan bersemangat pada separuh masa kedua.

Beliau berkata pemain perlu bekerja lebih keras bagi menghadapi 10 perlawanan akan datang termasuk perlawanan menentang pasukan T-Team pada 3 Julai. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pulau Pinang Jacksen F. Tiago berkata perlawanan pada bulan Ramadan tidak seharusnya menjadi alasan atau halangan kepada skuad itu untuk beraksi cemerlang.

Katanya FAM lebih arif dalam menentukan jadual perlawanan itu dengan mengambil kira beberapa faktor, selain beliau berpendapat pihaknya perlu mengikuti ketetapan yang telah diputuskan oleh FAM.

"Saya rasa mereka yang berada dalam FAM lebih bijak untuk memberi maklumat dan pandangan berhubung perkara ini. Saya sebagai jurulatih luar menghormati (keputusan yang dibuat oleh FAM)," katanya.

Artikel Lain