suria

PBSNT Kemuka Rayuan Hukuman Gantung Terhadap Rangel

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman ke atas penyerang import pasukan Terengganu Paulo Rangel yang digantung selama enam bulan.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata rayuan itu akan dilakukan dalam minggu ini bagi meringankan hukuman ke atas pemain kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu.

"Kami juga akan meminta penjelasan lanjut berhubung hukuman yang telah dikenakan itu," katanya kepada pemberita selepas Kongres PBSNT yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Sebelum ini Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya memutuskan bahawa Rangel didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil, yang melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015.

Pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Selangor itu melakukan kesalahan tersebut ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei lepas.

Bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM 2015 bagi menetapkan pemain (Rangel) dikenakan penggantungan selama tiga bulan pertama dahulu (dari 20 Jun hingga 19 Sept) dan baki tiga bulan (dari 20 Sept hingga 19 Dis) ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain.

Pada kongres tersebut, PBSNT telah meluluskan dua usul iaitu cadangan kepada badan induk bola sepak negara itu untuk menubuhkan pasukan bola sepak sendiri bagi menggalakkan lagi persaingan dalam arena bola sepak tanah air.

Selain itu pihaknya juga telah bersetuju untuk memberikan pas bermusim kepada 15 orang anggota jawatankuasa bagi setiap daerah.

"Kami akan memanjangkan cadangan untuk tubuhkan pasukan ini kepada FAM dan terpulang kepada mereka (FAM) untuk menilai mahupun sebaliknya," katanya.

Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya juga telah membuat rayuan berhubung denda yang dikenakan berjumlah RM87,500 kepada PBSNT kerana tindakan penyokong membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA lalu.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada FAM berhubung denda terbabit.

PBSNT, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Azraai Mahu TRW Bangkit

Artikel Lain