suria

Skru Tayar Punca Ferrari Kalah

PASUKAN Formula Satu (F1), Ferrari menyalahkan masalah skru tayar sebagai punca kegagalan pelumba mereka, Sebastian Vettel untuk mendapat tempat di podium di perlumbaan Grand Prix Austria pada Ahad.

Vettel mendahului perlumbaan yang turut disaksikan oleh Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne tetapi kehilangan banyak masa apabila pasukan mekanik menghadapi masalah untuk menukar tayar sebelah kanan jentera tersebut.

Pelumba kelahiran Jerman itu kembali semula di dalam perlumbaan di kedudukan keempat tetapi gagal untuk melepasi pelumba Williams, Felipe Massa dan terlepas peluang untuk mendapatkan kedudukan podium yang keenam daripada lapan perlumbaan.

Ketua pasukan Ferrari, Maurizio Arrivabene berkata masalah itu bukanlah kali pertama berlaku dan menggesa pasukannya supaya perkara itu tidak berlaku lagi.

"Ia bukan masalah pasukan mekanik tetapi masalah kami sendiri dan kami harus memastikan masalah itu diselesaikan.

"Sebastian memulakan perlumbaan dengan baik tetapi sekali lagi kami melepaskan peluang untuk mendapat tempat di podium disebabkan masalah yang remeh itu.

"Bagi saya ini adalah sesuatu yang sukar untuk diterima jadi masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin," kata Maurizio.

Bekas juara dunia empat kali yang menyertai Ferrari dari pasukan Red Bull kekal di kedudukan ketiga bagi merebut kejuaraan musim ini di belakang pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen juga menghadapi nasib malang pada perlumbaan tersebut apabila terlibat dalam kemalangan semasa pusingan pertama.

"Isu yang berlaku di hentian pit merupakan perkara yang boleh berlaku di mana-mana perlumbaan dan selalunya pasukan mekanik kami merupakan yang terpantas jadi tiada siapa yang dipersalahkan mengenai isu ini.

"Kami berasa sedikit kecewa kerana gagal untuk mendapat kedudukan tiga teratas pada perlumbaan ini tetapi saya pasti kami akan berkerja dengan lebih baik dan fokus untuk perlumbaan yang seterusnya," kata Vettel.

Ferrari

Artikel Sebelum

Azraai Mahu TRW Bangkit

Artikel Berikut

Artikel Lain