suria

Terbuka Amerika Syarikat: Lee Chong Wei Kembali Bergelar Juara

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya mengambil masa 39 minit untuk menewaskan lawannya pada perlawanan akhir Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat, sekali gus meraih gelaran kejuaraan pertama beliau dalam kejohanan terbuka.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 33 tahun itu, membuktikan beliau tidak kehilangan sentuhan walaupun tidak beraksi selama lapan bulan dengan menewaskan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus, 22-20 dan 21-12.

Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat yang berlangsung di Kolej Komuniti Suffolk County, Brentwood, Amerika Syarikat ini merupakan penampilan pertama Chong Wei dalam kejohanan terbuka dan cabaran antarabangsa ketiga selepas  digantung lapan bulan atas kesalahan doping.

"Saya gembira dengan prestasi saya pada Terbuka Amerika Syarikat walaupun ini merupakan kejohanan individu saya selepas sembilan bulan. Terima kasih semua peminat dan penyokong. Saya sayang anda semua," kata Chong Wei melalui laman sosial Facebook.

Chong Wei berusaha untuk memperbaiki kedudukan beliau dalam ranking dunia sejak kembali daripada penggantungan lapan bulan lepas. Beliau yang sebelum ini berada pada ranking nombor satu dunia telah jatuh kepada ranking ke-79.

Keputusan yang memberangsangkan pada kejohanan terbuka Amerika Syarikat ini bakal menjadi pemanas yang baik menjelang Kejohanan Dunia di Jakarta, Ogos ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain