suria

Pahang Kekal Di Persada Liga Super

Aksi perlawanan antara pasukan Pahang dan PDRM.

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Pahang, kembali meneruskan kempen liga dengan bergaya selepas rehat lebih sebulan apabila menumpaskan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-3 di Stadium Shah Alam, pada Sabtu malam.

Skuad 'Tok Gajah' bermula garang setelah memperoleh jaringan awal pada minit ketujuh menerusi D. Saarvindran, sebelum penyerang import dari Argentina, Matias Conti menyempurnakan 'hatrik' melalui jaringan pada minit ke-38, minit ke-45 dan minit ke-70, manakala Dickson Nwakaeme turut tidak melepaskan peluang meraih gol pada minit ke-50.

Penyerang import dari Mali, Dramane Traore pula menyempurnakan 'hatrik' bagi skuad 'The Cops' menerusi jaringan pada minit ke-50, minit ke-79 dan minit ke-89.

Pasukan selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) melonjak ke tangga kedua liga setelah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu, yang beraksi tanpa penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA), Gong Badak.

Gol tunggal skuad 'The Southern Tigers' dijaringkan oleh penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-76.

Terengganu dikenakan hukuman bermain tanpa penyokong berserta denda berjumlah RM87,500 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) angkara tindakan penyokong membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Lions XII pada 16 Mei.

Pasukan Felda United FC (FUFC) dan Selangor pula terikat 4-4 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad 'Gergasi Merah' membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi Ahmad Hazwan Bakri sebelum pasukan tuan rumah memintas menerusi jaringan penyerang import Brazil, Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-17 dan minit ke-23 diikuti jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-37.

Ahmad Hazwan cuba merapatkan kedudukan melalui jaringan pada minit ke-40 sebelum tamat separuh masa pertama, yang menyaksikan pemain FUFC, Hasnizaidi Jamian dibuang padang pada minit ke-45 diikuti pemain Selangor, Leandro Dos Santos seminit kemudian selepas kedua-dua pemain mengutip kad kuning kedua.

Bermula babak kedua, Ndumba Makeche menambah jaringan bagi skuad 'The Settlers' pada minit ke-50, sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi jaringan K. Gurusamy pada minit ke-64 dan Abdul Hadi Yahya yang berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-77.

Pasukan Sarawak pula gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Perak di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.

Pasukan pelawat membuka jaringan menerusi penyerang import dari Korea Selatan, Namkung Woong pada minit ke-57 sebelum skuad 'Ngap Sayot' menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan pemain import dari Australia, Ryan Griffiths.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan Lions XII turut meraih tiga mata penuh apabila mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pasukan seberang tambak Johor itu memperoleh jaringan pertama menerusi Nor Fazly Alias yang menanduk masuk bola ke dalam gawang sendiri sebelum Lions XII menambah jaringan menerusi Muhammad Safuan Baharudin pada minit ke-50 dan Shahdan Sulaiman pada minit ke-84, manakala Nor Fazly sekali kali menjaringkan gol pada minit ke-59, kali ini di gawang yang betul.

Dalam pada itu, aksi liga antara pasukan Kelantan menentang Sime Darby FC di Stadium Sultan Muhammad IV, ditunda ke suatu tarikh yang belum ditetapkan berikutan keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan stadium digunakan untuk perlawanan liga sepanjang bulan Ramadan kerana perkarangan stadium akan digunakan sepenuhnya untuk program Madinah Ramadan.

Liga Super

Artikel Sebelum

Keputusan Copa America

Artikel Berikut

Artikel Lain