suria

Kuala Lumpur Bakal Pusat Tumpuan Sukan SEA 2017

Khairy mengibar bendera Persekutuan Sukan SEA sebagai penerimaan Malaysia selaku tuan ruman Sukan SEA 2017.

SINGAPURA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi bayangan awal hampir sebahagian besar acara yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 yang dihoskan Malaysia akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak juga akan turut terlibat dalam penganjuran temasya sukan dwitahunan kali ke-29 itu yang bakal melibatkan 36 acara sukan. 

Keputusan rasmi berhubung pemilihan venue akan diumumkan selepas Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat, kata Khairy pada sidang media mengumumkan prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2015 lewat Selasa malam.

Beliau berkata kesemua venue sukan sedia ada terutamanya di Bukit Jalil akan dinaik taraf bagi menjimatkan kos operasi Sukan SEA 2017 manakala hanya satu venue baharu iaitu sebuah velodrom untuk acara berbasikal trek akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan.

Khairy berkata pemilihan atlet yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2017 akan ditentukan menerusi tiga fasa latihan bagi memastikan hasrat Malaysia muncul juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2001 di Kuala Lumpur, dapat direalisasikan.

Fasa pertama akan melibatkan 2,310 atlet yang berlangsung dari September 2015 hingga September 2016, fasa kedua (Oktober 2016 hingga Mac 2017 melibatkan 1,540 atlet) sebelum fasa akhir latihan dari April sehingga September 2017 membabitkan 800 atlet.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan pada edisi 2001 yang dianjurkan di Kuala Lumpur menerusi kutipan 111 pingat emas, 98 perak dan 68 gangsa.

"Majlis Sukan Negara akan mengetuai kordinasi (fasa latihan) bersama Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara.

"Kita telahpun mengadakan perbincangan dengan kesemua 36 persatuan sukan pada 1 Jun lepas dan kita sudah mulakan persediaan kontinjen negara untuk 2017," kata Khairy.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan beberapa elemen penting yang digunakan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura seperti pengurusan acara sukan dan penggunaan aplikasi mudah alih, akan diterapkan pada Sukan SEA 2017.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain