suria

Skuad Bola Tampar Perlu Akhiri Kemarau Pingat Sukan SEA

Chin Poh Lud (kiri) bersama Pengerusi Pertandingan MAVA, Chin Kim Siong (kanan) bergambar bersama penaja pada sidang media mengenai Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 16 Tahun Milo-Malaysia Ke-14, 2014 di Kuala Lumpur, Khamis. Turut hadir, Eksekutif Promosi Mikasa, Ester Law (dua, kiri) dan wakil Milo, Hon Kim Nien. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) meminta skuad negara segera memperbaiki prestasi bagi menamatkan kemarau pingat selama 14 tahun pada temasya Sukan SEA di Singapura tahun depan.

Setiausaha Kehormat MAVA, Chin Poh Lud berkata persatuan akan mengumumkan jurulatih baharu dalam masa terdekat bagi menyuntik semangat serta membimbing pasukan kebangsaan untuk lebih kompetetif dalam semua perlawanan. 

Mengakui bimbang dengan prestasi merosot sukan bola tampar negara, Chin berkata persatuan akan membuat pemilihan jurulatih tempatan bertaraf antarabangsa dan beliau tidak menolak kemungkinan akan mengambil jurulatih luar sekiranya tiada pilihan lain.

"Kita telah senaraikan empat calon untuk dipilih dan kemungkinan pada bulan ini juga (Disember) skuad kebangsaan akan dibimbing oleh jurulatih baharu.

"Pasukan perlu membuktikan peningkatan prestasi pada Sukan SEA Singapura walaupun sasaran utama adalah pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Malaysia," katanya kepada Bernama selepas sidang media Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 16 tahun) Milo-Malaysia ke-14 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Khamis.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat bola tampar pada Sukan SEA adalah ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada tahun 2001 dengan pencapaian pingat perak namun selepas itu prestasi skuad negara semakin merundum.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, skuad kebangsaan tidak dapat melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Persatuan mungkin akan menghantar pasukan lelaki ke Thailand dan Vietnam pada awal tahun depan untuk berlatih dan menyertai beberapa pertandingan di sana untuk persiapan Sukan SEA Singapura pada Mei nanti," katanya.

Chin berkata, masalah kewangan juga menjadi faktor kemerosotan prestasi skuad negara yang gagal mempamerkan keputusan cemerlang.

Sementara itu, Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 16 tahun) Milo-Malaysia ke-14 akan berlangsung pada 17-21 Dis ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Kejohanan itu disertai oleh 16 pasukan negeri dalam kategori lelaki dan perempuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain