suria

Formula 1: Caterham Dibenarkan Guna Kenderaan 2014 Musim Depan

Kenderaan F1 milik pasukan Caterham.

PENGURUSAN Formula 1, telah memberi kebenaran kepada pasukan Caterham untuk bersaing menggunakan kereta 2014 pada musim depan dengan syarat mereka berjaya memperolehi penaja baru.

Pasukan itu kini diletakkan di bawah pentadbiran khas yang dilantik oleh pihak bank Oktober lalu kerana gagal melangsaikan hutang mereka.

Kelonggaran yang diberikan itu bermakna, penaja atau pemilik baru tidak berada di dalam situasi tertekan untuk menghasilkan kereta baru sepertimana yang ditetapkan oleh syarat.

Jurucakap pentadbiran khas Caterham, Finbarr O'Connell berkata: "Keputusan ini diambil dengan tujuan untuk mempermudahkan urusan pengambilalihan pengurusan pasukan oleh pemilik atau penaja baru."

Keputusan itu bagaimanapun akan disahkan oleh badan pentadbir sukan moto dunia (FIA) yang akan berlangsung di Doha, Qatar hujung minggu ini.

O'Connell menambah, Suruhanjaya F1 dan FIA bersetuju memberi kelonggaran itu agar pemilik baru mempunyai masa dan ruang untuk membangunkan semula pasukan berkenaan.

Mengendalikan pasukan F1 menelan belanja yang besar dan pasukan Caterham terpaksa memberikan notis pemberhentian kerja kepada 230 staf mereka pada November.

Musim lalu mereka terpaksa melupakan dua perlumbaan tetapi kembali ke perlumbaan terakhir di Abu Dhabi atas sumbangan para penonton dan peminat F1.

Menurut O'Connell, buat masa ini pihaknya sedang berunding dengan pembeli yang berpotensi.

Caterham menyertai Formula 1 pada 2010 atas nama Lotus Racing.

Ia pernah dimiliki oleh usahawan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes sebelum menjualnya kepada konsortium baru awal tahun ini.

Bagaimanapun menjelang Ogos, pembeli baru itu menyerahkan kembali pasukan Caterham kepada pemilik asalnya dengan alasan perjanjian mereka tidak dipenuhi.

Sepanjang penglibatan pasukan itu dalam F1, pencapaian terbaik mereka hanyalah di tempat ke-11 di GP Brazil 2012 menerusi kenderaan yang dipandu oleh Vitaly Petrov.

Artikel Berikut

Artikel Lain