suria

Malaysia Kalah Kali Kedua, Tunduk Kepada Thailand 1-3

Tee Jing Yi.

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara mengalami kekalahan kedua selepas tewas kepada Thailand 1-3 pada aksi keempat pusingan awal Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 di Bratama Arena, Jakarta pada Ahad.

Mata pertama negara diperoleh menerusi pemain perseorangan lelaki, Liew Daren yang mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Tanongsak Saensomboonsuk 21- 18 dan 21-9.

Pasukan negara, bagaimanapun kempunan untuk menambah mata apabila pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi yang bangkit pada set kedua, gagal mengheret Ratchanok Intanon ke perlawanan penentuan.

Jing Yi terpaksa akur apabila tewas kepada pemain Thailand itu 6-21, 19-21. Beregu lelaki juga gagal menyumbang mata apabila gandingan Hoo Thien How-Tan Wee Kiong tumpas kepada pasangan Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech 13-21, 15-21.

Harapan untuk menyamakan kedudukan musnah apabila beregu campuran negara tumpas pada perlawanan keempat.

Pasangan Tan Aik Guan-Ng Hui Lin kalah 19-21, 15-21 kepada pasangan Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam.

Pada perlawanan ketiga pada Sabtu, Malaysia gagal menyekat kehebatan Indonesia apabila tewas 0-4.

Kesemua pasukan masih berbaki tiga perlawanan pusingan awal untuk merebut empat slot ke separuh akhir yang akan diadakan di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Disember ini.

Malaysia akan berdepan pasukan jemputan mewakili Eropah esok manakala Indonesia yang mengungguli carta, akan bertemu Singapura pada perlawanan kelima.

Selain Malaysia selaku juara bertahan, kejohanan itu turut disertai Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura serta dua pasukan jemputan, Asia All Star dan European All Star.

Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan mewakili Asia dan Eropah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain