suria

THT Cipta Sejarah Juara Liga Hoki Malaysia 2014

Pemain pasukan Terengganu meraikan kemenangan mereka menjuarai Liga Hoki Malaysia selepas menumpaskan pasukan Sapura dengan jaringan 9-2 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, Ahad. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) mencipta sejarah muncul juara Liga Hoki Malaysia TNB (TNB-MHL) 2014 buat pertama kalinya, selepas mencatat kemenangan besar 9-2 ke atas Kelab Hoki Sapura pada aksi akhir liga berkenaan di Stadium Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Ahad.

THT dinobatkan juara liga selepas menamatkan cabaran dengan mengutip 27 mata mengatasi pencabar utama, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang juga juara bertahan edisi tahun lepas, yang mengumpul 24 mata.

Dalam aksi pada Ahad, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Faridzul Afiq Mohd seawal minit ketiga, namun THT di bawah kendalian jurulatih Sarjit Singh berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, lima minit kemudian.

THT mula berpesta gol apabila Mohd Fitri Saari menambah jaringan pada minit kesembilan diikuti Faizal Saari ke-14, Muhammad Firhan Ashaari (ke-15), Ismail Abu (ke-15), Seo Jong Ho (ke-16) dan Sobirin Lias (ke-30). 

Ketinggalan 1-7, pasukan Sapura berjaya memperoleh gol kedua menerusi Khasif Ali pada minit ke-38.

Namun, pasukan tuan rumah kembali menambah koleksi gol menerusi Muhammad Firhan pada minit ke-49 sebelum Seo Jong Ho melengkapkan kemenangan bergaya THT menerusi gol kesembilan tiga minit kemudian.

Di Gelanggang Utama, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, KLHC gagal mempertahankan gelaran apabila dimalukan pasukan bukan pilihan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 1-5.

UniKL bermula garang apabila Dedy Ariyadi Jumaidi membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ketujuh sebelum Phillipp Stahr menggandakan jaringan pada minit ke-19.

Tertekan apabila ketinggalan 0-2, KLHC bangkit meraih gol sulung menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Rahim pada minit ke-24.

Kegembiraan KLHC tidak bertahan lama apabila UniKL kembali mendominasi perlawanan menerusi jaringan Muhammad Hafiz Samsul, Stahr dan Muhammad Sufi Ismat Rohulamin, masing-masing pada minit ke-57, 59 dan 60.

Tempat ketiga milik pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu mengumpul 13 mata, biarpun seri 3-3 berdepan Maybank pada saingan akhir di Gelanggang 2, venua yang sama.

Pasukan TNB terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang Muhamad Ramadan Rosli seawal minit ketiga sebelum pemain Maybank, Shakeel Abassi menyamakan kedudukan pada minit ke-20.

TNB bangkit mendahului kedudukan menerusi dua gol, masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Azammi Adabi dan Norhizzat Sumantri pada minit ke-21 dan 42.

Namun, kegembiraan TNB hanya seketika apabila Maybank kembali menyamakan kedudukan menerusi dua gol yang dijaringkan oleh Abdul Haseem Khan dan B.Namasivayam, masing-masing pada minit ke-47 dan 53.

Kesemua enam pasukan akan meneruskan cabaran bagi merebut Piala TNB-MHL 2014 yang akan bermula Jumaat ini.

Artikel Lain