suria

Sukan Asia: Penemuan Sibutramine Tak Masuk Akal - Khairy

Khairy Jamaluddin.
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan penemuan bahan terlarang Sibutramine dalam ujian sampel air kencing atlet wushu wanita negara, Tai Cheau Xuen tidak masuk akal.

Ini kerana menurut ketua jurulatih wushu, Thoong Foong, Cheau Xuen seorang atlet yang jujur dan tidak mengambil sebarang suplemen terlarang, katanya.

"Lagi pun Sibutramine akan membuatkan seseorang itu kurang selera makan dan kategori Cheau Xuen bukan kategori berat badan, dia tidak perlu mengurangkan berat badan dan ini tidak masuk akal," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu merangkul pingat emas dalam acara gabungan Nanquan-Nandao pada 20 September lalu untuk muncul sebagai penyumbang emas pertama kepada kontinjen negara pada temasya edisi ke-17 itu.

Menurut kenyataan pihak penganjur semalam, ujian sampel air kencing Cheau Xuen yang dilakukan pada 20 September lalu selepas pertandingan mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam Senarai Larangan Agensi Antidoping Sedunia (Wada) 2014.

Khairy mengulangi bahawa kronologi proses ujian sampel air kencing (CoC) terhadap Cheau Xuen memiliki keraguan yang tinggi.

Katanya beliau difahamkan Majlis Olimpik Asia (OCA) menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah, mengakui terdapat prosedur yang tidak mengikuti proses biasa dan membuat keputusan bahawa kepincangan itu tidak penting.

"Bagi saya ini adalah satu penafian hak atlet kita yang menuntut kepada ketulusan dan akauntabiliti dalam prosedur ujian doping yang dilaksanakan oleh OCA," katanya.

Khairy berkata beliau bukan mempertikai keputusan OCA menarik balik pingat, namun menegaskan bahawa Malaysia memandang serius isu tersebut.

Justeru, katanya, Malaysia akan mengemukakan rayuan kes tersebut kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Incheon, hari ini.

Ditanya kemungkinan keputusan positif doping mempunyai unsur sabotaj daripada pihak tertentu, Khairy yang enggan membuat spekulasi berhubung perkara itu bagaimanapun mahu pihak OCA melihat kepada fakta kes tersebut.

"Tetapi kita perlu tahu Cheau Xuen bukan juara dunia. Juara dunia biasanya datang dari negara China. Sebelum sample B dibuat, berita tentang keputusan doping atlet kita ini tersebar di China.

"Saya tidak mengatakan ada sabotaj, saya hanya bercakap tentang fakta proses perjalanan dan penyimpanan sample tersebut ada banyak keraguan," katanya. 
Sukan Asia, wushu, Tai Cheau Xuen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain