suria

Keputusan Rayuan Malaysia Akan Diketahui Dalam Masa 48 Jam - Daniyal

INCHEON: Rayuan Malaysia terhadap keputusan Majlis Olimpik Asia (OCA) melucutkan pingat emas atlet wushu wanita negara Tai Cheau Xuen dijangka diketahui dalam tempoh 48 jam selepas rayuan dikemukakan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Ketua kontinjen negara Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata tempoh tersebut merupakan ketetapan Indeks Prestasi Utama (KPI) badan dunia itu.
 
"CAS adalah sebuah badan berkecuali dan keputusan yang dibuat biasanya wajar dan adil. Kami yakin Cheau Xuen tidak terbabit dalam pengambilan sebarang bahan larangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pegawai perubatan kontinjen negara daripada Institut Sukan Negara (ISN) Dr Rashid Puji akan menghantar laporan lengkap rayuan kes itu kepada pejabat sementara CAS di sini hari ini.

Katanya OCA akan menarik semula pingat daripada atlet dalam tempoh empat hari kerana bagi memberi peluang untuk proses rayuan.

Daniyal berkata laporan yang dikemukakan kepada CAS adalah mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan dengan melampirkan bersama dokumen sokongan lain.

Proses rayuan tersebut adalah percuma kerana andainya dikemukakan kepada Ibu Pejabat CAS di Lausanne, Switzerland, bayaran yang dikenakan adalah Euro 50,000 (RM207,328), katanya.
 
"Rayuan perlu dihantar segera sebelum pejabat sementara CAS di sini menutup operasi pada hari terakhir temasya iaitu 4 Okt ini," katanya.

Walaupun mengakui peluang rayuan adalah tipis, namun, katanya ia tetap akan diperjuangkan kerana melibatkan maruah negara dan juga atlet itu sendiri.
 
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, jarang berlaku keputusan penarikan pingat (daripada atlet) yang dibuat OCA dibatalkan," katanya.

Semalam, OCA memutuskan untuk menarik balik pingat emas Cheau Xuen yang dimenangi dalam acara gabungan nanquan dan nandao selepas atlet berkenaan gagal dalam ujian doping.

Menurut kenyataan penganjur, ujian sampel air kencing Cheau Xuen yang dibuat pada 20 Sept lepas selepas pertandingan mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam senerai larangan Agensi Antidoping Sedunia (WADA).

doping Sukan Asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain