suria

1,398 Atlet Buru Gelaran Ironman Langkawi 2014 Esok

Gambar hiasan.
LANGKAWI: Sebanyak 1,398 atlet dari 58 negara akan berentap untuk memburu gelaran juara pada edisi ke-12 kejohanan Ironman Langkawi 2014 yang berlangsung pada Sabtu.

Jumlah itu meningkat kepada 708 orang berbanding edisi ke-11 pada 2010 yang hanya melibatkan seramai 690 orang yang diwakili 41 negara.

Malaysia selaku tuan rumah menghantar peserta teramai iaitu 247 orang, diikuti Singapura (202), Jepun (180), Australia (138), Filipina (124), China (65), Thailand (59), United Kingdom (45), Amerika Syarikat (41) dan Jerman dengan 31 peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Ironman Asia Pasifik Geoff Meyer berkata Ironman sangat teruja untuk kembali ke Langkawi selepas beberapa tahun tidak diadakan dan ini merupakan triathlon antarabangsa terbesar yang pernah dianjurkan oleh Malaysia dan Langkawi.

"Kami rasa teruja untuk kembali ke Pulau Langkawi yang indah dan Ironman Malaysia juga merupakan acara pertama dianjurkan dari pejabat baharu Ironman di Malaysia kendalian pasukan tempatan kami," beliau memberitahu wartawan di sini, Jumaat.

Beliau turut berharap penduduk tempatan dapat memberikan kerjasama dengan keluar memberikan sokongan kepada atlet-atlet termasuk peserta negara yang bertanding di sepanjang laluan pertandingan.

Kejohanan itu membabitkan tiga displin iaitu berenang sejauh 3.8 km, berbasikal 180 km dan berlari sejauh 42.2 km yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$40,000.

Seramai 40 peserta terbaik kejohanan ini akan melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan Ironman Dunia di Kona, Hawaii tahun hadapan.

Artikel Sebelum

Beregu Wanita Sekadar Gangsa

Artikel Berikut

Artikel Lain