suria

Semua Pemain Salah - Van Gaal

Reaksi spontan van Gaal pada perlawanan yang menyaksikan MU tewas pada Ahad lalu.
LONDON: Pengurus Manchester United (MU), Louis van Gaal mengakui kegagalan pasukannya setakat ini adalah pengalaman paling trauma dialaminya sebagai pengendali pasukan bola sepak.


Kata van Gaal, kekalahan 5–3 pasukan itu kepada Leicester City pada Ahad tidak sepatutnya berlaku.

“Kemenangan hampir dalam genggaman tetapi pemain melepaskan peluang itu,” katanya.

Menurut pengurus kelahiran Belanda itu, kesalahan perlu diletakkan kepada seluruh pemain sehingga menyebabkan MU mencatat rekod terburuk peringkat awal musim dalam sejarah.

Van Gaal berkata, sejak menjadi pengurus bola sepak 25 tahun lalu, satu-satunya pengalaman buruk seperti sekarang ialah ketika dia mengendalikan skuad Barcelona pada 1998.

“Kami mendahului dengan tiga gol tetapi ketika perlawanan tinggal berbaki 15 minit, kami kalah 4–3.

“Anda tidak boleh menjangkakan apa-apa dalam bola sepak namun ketika mendahului 3–1 sepatutnya kami mendapat tiga mata, tetapi peluang itu terlepas begitu sahaja.

“Bukan kerana pasukan lawan bermain lebih baik, sebaliknya kami membiarkan ia berlaku,” katanya.

Van Gaal berkata, dia tidak boleh menerima kesilapan begitu.

“Pemain perlu mengawal permainan tetapi kami tidak melakukannya. Kemudian kami menghadiahkan penalti kepada lawan,” katanya.

Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan Belanda itu, seluruh pasukan perlu memikul tanggungjawab atas kekalahan berkenaan yang menyebabkan mereka tertinggal lapan mata daripada Chelsea yang berada di tempat teratas liga.

Katanya, pemain pertahanan tidak boleh dipersalahkan secara tunggal kerana MU bermain secara berpasukan – sama seperti ditunjukkan oleh Leicester City.

“Dalam posisi bertahan, seluruh pasukan bertanggungjawab,” katanya.

Kelmarin, ketua pasukan ,Wayne Rooney dilapor menyalahkan keputusan pengadil  Mark Clattenburg yang memberikan penalti kepada Leicester selain membuang padang seorang daripada pemain MU, Tyler Blackett.

Louis van Gaal, MU, Leicester City

Artikel Sebelum

Artikel Lain