suria

Futsal AFF 2014: Malaysia Gagal Ke Separuh Akhir

Pemain futsal negara, Muhammad Shamsul Akmar diapit oleh tiga pemain dari Australia ketika mengelecek bola menyerang gawang lawan pada Kejohanan Futsal AFF 2014 di Stadium Malawati, Shah Alam pada Isnin. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Peluang Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2015 tertutup selepas tewas kepada Australia 3-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Malawati di sini, Isnin.

Sebelum melengkapkan jadual perlawanan kumpulan pada Selasa, slot separuh akhir telah diputuskan dengan Indonesia dan Australia layak daripada Kumpulan A, makala Vietnam dan Thailand daripada Kumpulan B.

Keempat-empat pasukan itu mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Pada perlawanan ketiga kumpulan, pasukan negara kendalian Maizal Hairi Marzuki tersentak dengan jaringan pertama pasukan lawan oleh Nathan Edmun Niski pada minit keenam.

Kemudian kapten pasukan Australia, Gregory James Glovenali meledakkan gol kedua pada minit ke-18 dan Daniel Steven Fogarty meranapkan harapan negara dengan gol ketiga pada minit ke-37.

Maizal berkata kekalahan skuad negara berpunca daripada kelemahan di bahagian serangan walaupun pasukan lebih menguasai permainan pada separuh masa kedua perlawanan.

"Dua gol Australia adalah berpunca daripada kesilapan pasukan negara sendiri. Kita mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun pemain lewat sampai ke gawang lawan.

"Pasukan telah melakukkan yang terbaik namun disebabkan terlalu gugup beraksi pertama kali di tempat sendiri dalam kejohanan yang besar menyebabkan pasukan sukar mengawal tekanan mereka," katanya.

Malaysia akan bertemu Timor Leste bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan A.

Dalam satu lagi saingan kumpulan A, Indonesia mengukuhkan kedudukan tempat teratas selepas membelasah Brunei 15-1.

Dalam kumpulan B menyaksikan Vietnam merampas kedudukan teratas carta selepas membelasah Laos 18-0 manakala juara bertahan Thailand meraih kemenangan tipis mengalahkan Myanmar 5-4.
Futsal AFF 2014, Malaysia, tewas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Futsal AFF 2014

Artikel Lain