suria

"Saya Belum Ada Pasukan Yang Mantap" - Dollah Salleh

Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR: Sekalipun berjaya menewaskan Kemboja 4-1 pada perlawanan persahabatan pada Sabtu, Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh masih tercari-cari 22 pemain terbaik untuk disenaraikan untuk Kejohanan Piala AFF Suzuki pada November ini.

Beliau berkata, kejayaan menewaskan Kemboja semalam masih belum membuktikan keupayaan pemain terlibat untuk menghadapi kejohanan itu nanti.

"Kita bernasib baik (perlawanan semalam), kalau pasukan negara lawan Indonesia ataupun Thailand saya rasa 'masak' (teruk) juga pasukan kita. Saya belum ada pasukan yang mantap.

"Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, saya fokus pada individu dalam pasukan sahaja. Dalam 35 pemain yang saya ada, saya sudah senaraikan 27 pemain tetapi saya masih was-was untuk tolak siapa sebab saya tidak mahu lakukan kesilapan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, beliau masih tercari-cari pemain yang mampu menggalas cabaran sebagai penyudah atapun 'pencipta gol' dalam pasukan.

"Saya mahu prestasi, kalau penyerang, pemain itu mampu mengancam pertahanan lawan, itu yang saya nak tengok. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, kedua-duanya ini bagus tetapi saya belum dapat mengenal pasti penyerang yang mempunyai kemahilan penyudah yang konsisten," katanya.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Terengganu pada perlawanan amal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Rabu ini. 

Mereka akan melengkapkan aksi persahabatan antarabangsa berdepan Jordan pada 11 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum ini, Malaysia kalah 1-4 kepada Tajikistan di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos lepas sebelum kalah 0-2 kepada Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, Ahad lepas.

Artikel Lain