suria

Skuad Hoki Wanita Tidak Mahu Dianggap 'Underdog'

INCHEON: Skuad hoki wanita negara pada Sukan Asia ke-17 di sini tidak mahu dianggap 'underdog' apabila mereka berdepan pasukan lebih hebat dalam Kumpulan A bersama juara bertahan China, Thailand dan India.

Penjaga gol utama Fara Ayuni Yahya berkata walaupun tiada sasaran pingat diletakan kepada mereka, ia bukan alasan untuk mereka tidak melakukan yang terbaik.

Malaysia akan menentang China di Stadium Hoki Seonhak pada Isnin.

"Walaupun pasukan hoki wanita kurang dikenali jika dibandingkan dengan pasukan lelaki, namun kami akan turun dengan lebih bersemangat ketika menentang China," katanya kepada Bernama.

"Bagi kami walaupun misi mendapat pingat agak hampir mustahil, ia bukan alasan untuk mengalah sebelum beraksi," tambahnya.

"Saya bersama Huzaimah Md Aziz, Fifi Zainudin sebagai benteng terakhir telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan gawang gol negara sukar ditembusi China," katanya.

Fara Ayuni berharap pengalamanya dan rakan sepasukan meraih emas pada Sukan SEA di Myanmar tahun lepas sedikit sebanyak akan membantu mereka.

"Kami telah mengkaji corak serangan China yang mempunyai ketajaman apabila membuat pukulan sudut penalti," katanya.

Beliau berkata selain bersedia menghadapi pukulan sudut penalti China, beliau turut bersedia menghadapi kemungkinan berlaku pukulan penalti.

Selain China, skuad Malaysia akan menghadapi Thailand pada 24 Sept dan India pada 26 Sept.

China menjadi juara Sukan Asia sejak 2002 di Busan yang kali ini mereka bakal ditentang hebat Korea Selatan dan Jepun untuk meraih emas.

Malaysia pernah memenangi gangsa pada 1982 di New Delhi dan menduduki tempat keempat pada 1986 di Seoul.

Di Guangzhou pada 2012, Malaysia menduduki tempat kelima.


Hoki, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain