suria

Positif dadah, Pingat Emas Olahragawati Sukma Perlis Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Pingat emas yang dimenangi Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014 Jenilie Empera dalam acara angkat berat wanita tidak melebihi 75kg, ditarik balik selepas beliau didapati mengambil dadah terlarang jenis steroid. 

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata keputusan penarikan pingat itu dibuat selepas ujian ke atas dua sampel darah yang diambil daripada atlet itu didapati mengandungi steroid.

Beliau berkata sampel A dan B yang didapati positif, telah diuji masing-masing pada Julai dan akhir Ogos lepas di India memandangkan Malaysia tidak mempunyai makmal bertauliah bagi melakukan ujian doping atlet.

"Setelah sampel A didapati positif, beliau (Jenilie) membuat bantahan terhadap keputusan itu.

"Kemudian, kita lakukan ujian ke atas sampel B dan ia juga menunjukkan kesan positif dadah yang tidak dibenarkan...ia adalah steroid," katanya kepada Bernama di Wisma Bernama pada Khamis.

Terdahulu, beliau  menjadi tetamu dalam program Dalam Radar terbitan Bernama Radio 24 yang dihoskan oleh Zulkifli Bujang dan Shuhada Armawan yang membincangkan tajuk 'Politik, Sukan dan Fit Malaysia.

Khairy berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak bagi mengambil tindakan disiplin ke atas Jenilie kerana atlet berkenaan adalah di bawah tanggungjawab mereka.

"Hanya persatuan sukan atlet itu sahaja yang boleh mengambil tindakan disiplin pertama...(Majlis Sukan Negeri Sarawak) akan diberi keputusan itu daripada Agensi Anti Dadah Malaysia (Adamas)," katanya.

Beliau menegaskan Kementerian Belia dan Sukan akan meminta penganjur Sukma  mengadakan pemeriksaan doping  ke atas atlet bertanding bagi memastikan objektif Sukma dalam melahirkan bakat-bakat muda berpotensi tidak terjejas.

Jenilie dipilih sebagai Olahragawati Sukma Perlis 2014 selepas memperbaharui dua rekod Sukma dalam acara angkat berat wanita tidak melebihi 75kg.

Beliau membuat angkatan sebanyak 85kg yang mengatasi rekod 84kg milik Nur Jannah Batrisyah dari Johor pada Sukma Melaka 2010 dalam kategori Snatch selain turut mencatat angkatan 107kg bagi memadam rekod 106kg milik Nur Jannah,dalam kategori Clean and Jerk.  

doping, sukma perlis, Jenilie Empera

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain