suria

Ole Gunnar Solskjaer Tinggalkan Cardiff City

> Selepas lapan bulan, Ole Gunnar Solskjaer tinggalkan Cardiff

> Solskjaer bertemu Pengerusi Mehmet Dalman pada Rabu

> Cardiff hanya menang lima dari 25 perlawanan di bawah Solskjaer

> Kekalahan di tangan Middlesbrough adalah pukulan terakhir

> Cardiff kini duduk di tangga ke-17 liga

> Solskjaer ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Vincent Tan di atas peluang

> Cardiff kini mahukan pengurus Dundee United, Paul Hartley sebagai penganti

> Tony Pulis, Glenn Roeder dan Craig Bellamy juga turut dipertimbangkan

> Danny Gabbidon dan jurulatih akademi Scott Young ambil alih buat sementara

LEGENDA Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer membuat keputusan untuk meninggalkan Cardiff City secara persetujuan bersama dengan kelab itu selepas hanya lapan bulan mengambil alih jawatan sebagai pengurus.

'Pukulan' terakhir buat Solskjaer ialah apabila kelab itu tewas di tangan Middlesbrough 0-1 di tempat sendiri yang menyebabkan Cardiff tercorot di tangga ke-17 Liga Kejuaraan.

Solskjaer, 41, telah diminta ke London pada Rabu pagi untuk bertemu dengan pengerusi Cardiff, Mehmet Dalman yang atas arahan pemilik kelab iaitu taikun dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, memulakan rundingan pampasan dengan bintang dari Norway itu.

Bekas bintang Manchester United itu kemudiannya berkata; "Perbezaan falsafah tentang bagaimana kelab itu harus ditadbir menjadi punca mengapa saya memutuskan untuk mengundurkan diri."

Keputusan Solskjaer untuk mengundur diri itu muncul pada hari yang sama Dundee United mengumumkan bahawa pengurus mereka, Paul Hartley, tidak akan meninggalkan kelab dari Scotland itu berikutan spekulasi yang bertiup kencang yang dia menjadi sasaran Cardiff.

Seorang lagi calon penganti yang disebut-sebut iaitu Tony Pulis dipetik sebagai berkata yang dia tidak dihubungi oleh mana-mana wakil Cardiff berhubung jawatan tersebut.

Bagaimanapun Solskjaer berkata yang dia berterima kasih kepada Vincent Tan kerana memberi peluang kepadanya untuk mengurus kelab berkenaan dalam tempoh lapan bulan ini.

"Saya sangat-sangat memandang tinggi kepadanya dan juga pengerusi Cardiff Mehmet Dalman yang merupakan seorang rakan yang setia," ujar Solskjaer lagi.

Cardiff mengesahkan yang Danny Gabbidon, yang telah kembali ke kelab tersebut sebagai pemain-jurulatih bulan ini sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh jurulatih akademi, Scott Young untuk menyiapkan pasukan menentang Derby County Sabtu ini.

Sementara itu Vincent Tan dalam kenyataan medianya berkata: "Ole dilantik oleh Cardiff City sebagai pengurus dengan harapan dia boleh menyelamatkan pasukan ini daripada tersingkir dari Liga Perdana musim lalu. Malangnya itu tidak berlaku tetapi saya memutuskan untuk terus mengekalkannya sebagai pengurus kami semusim lagi. Tetapi keputusan yang dicapai sejak akhir-akhir ini tidak lagi menjustifikasikan Ole untuk meneruskan tugasnya sebagai pengurus Cardiff. Dengan itu Ole membuat keputusan untuk mengundur diri dan saya menerima keputusannya itu.

"Sepanjang pengenalan saya dengannya, saya dapati dia adalah seorang yang bukan sahaja jujur tetapi pada masa yang sama seorang yang profesional yang sentiasa bekerja keras. selagi saya masih lagi menjadi pemilik kelab ini, Ole dan seluruh ahli keluarganya sentiasa dialu-alukan ke stadium kami sebagai tetamu kehormat saya. Kami kini dalam proses mencari pengantinya."

Apa yang menariknya ialah, ketika Cardiff memecat pengurus sebelum ini iaitu Malky Mackay, mereka berada di tangga ke-17 liga sama sepertimana apa yang berlaku kepada Solskjaer.

Keseluruhannya Cardiff hanya menang lima daripada 25 perlawanan di bawah kendalian Solskjaer.

Cardiff telah membelanjakan sekitar £16 juta ke atas 17 pemain baru sejak Solskjaer mengambil alih.

Tetapi Solskjaer dikatakan seorang yang tidak dapat memastikan formasi apakah yang terbaik untuk pasukannya dan dalam setiap perlawanan sentiasa menukar pemain dan posisi sehingga mencetuskan tanda tangan kepada pihak pengurusan kelab.

Pasukannya hanya berjaya menjaringkan lapan gol musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Misi Buru Pingat Sukan Asia Bermula

Artikel Lain