suria

Mourinho Yakin Van Gaal Berjaya Di United

PENGURUS Chelsea, Jose Mourinho menjangkakan Louis van Gaal mampu memulihkan permulaan buruk Manchester United pada awal musim ini dan membawa kejayaan kepada kelab itu.

Sejak mengambil alih jawatan pengurus United daripada David Moyes, jurulatih kelahiran Belanda itu masih berusaha mendapatkan kemenangan kompetitif dalam liga meskipun telah membawa masuk beberapa pemain seperti Angel Di Maria dan Radamel Falcao.

Mourinho yang pernah menjadi pembantu Van Gaal di Barcelona dan mengakui mendapat pengalaman dalam pengurusan daripada bekas jurulatih Belanda itu tidak meragui bahawa United mampu mengecapi kejayaan.

"Dia merupakan seorang daripada pengurus terbaik di dunia, oleh itu saya berpendapat dia adalah seorang yang mempunyai pengalaman hebat untuk menyelesaikan tugas tersebut (di United).

"Manchester United merupakan sebuah pasukan besar dan dia juga adalah pengurus hebat, oleh itu saya merasakan kedua-duanya dapat melakukan yang terbaik," jelas Mourinho.

Mengikut rekod setakat ini, Chelsea berjaya mencatatkan 100 peratus kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris.


Manchester United, Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain