suria

Terengganu Senarai 20 Pemain Hadapi Saingan Awal Piala Emas Raja-Raja 2013

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) menyenaraikan seramai 20 pemain untuk menghadapi saingan awal bola sepak Piala Emas Raja-Raja 2013, di Kluang Johor pada 8 hingga 10 November.

Pengurus pasukan Nor Zaidi Mohamad berkata mereka terdiri daripada bekas pemain negeri, Piala Presiden dan pemain Piala Emas yang lepas.

"Kami belum menyenaraikan pemain daripada Liga Super kerana kami ingin memberi pendedahan kepada pemain berkenaan terutamanya pemain bawah 21 tahun dalam Piala Presiden," katanya.

Nor Zaidi berkata pada kejohanan tahunan ini, setiap pasukan dibenarkan diwakili oleh enam pemain daripada pemain Liga Super, namun Terengganu tidak menggunakan khidmat pemain tersebut dan sebaliknya menggunakan khidmat bekas pemain Piala Emas edisi sebelumnya.

Beliau berkata Terenggganu telah ditempatkan dalam kumpulan C bersama-sama pasukan tuan rumah Johor, Negeri Sembilan dan Pahang untuk berentap di pusingan awal.

Juara dan naib juara kumpulan akan melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Nor Zaidi berkata beliau yakin pasukan Terengganu akan mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini berdasarkan komitmen dan keyakinan pemain.

Katanya pasukan Terengganu dibimbing oleh bekas pemain negeri tahun 90-an, Mustafa Kamal dan Roshadi Wahab.

Pasukan Terengganu juga telah diuji dalam beberapa perlawanan persabatan sebelum memasuki latihan akhir di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 1 November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain