suria

Bekas Atlet Jalan Kaki Negara Derma Pingat Emas Komanwel

KUALA LUMPUR: Bekas atlet jalan kaki negara, G. Saravanan pada Sabtu mendermakan pingat emas yang dimenanginya ketika beraksi pada temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 kepada Muzium Dewan Kemasyhuran Sukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ia sebagai simbol inspirasi kepada golongan remaja untuk terus berusaha mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa.

"Saya menyimpan pingat emas itu sejak 15 tahun lepas dan melihatnya setiap hari, namun tidak ada lagi atlet olahraga yang berjaya meraih emas Komanwel selepas saya.

"Saya harap selepas ini apabila (pingat itu) dipamerkan secara umum, atlet muda akan lebih bersemangat untuk mencipta kejayaan yang lebih baik daripada apa yang saya capai sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Saravanan meraih emas menerusi acara 50km jalan kaki lelaki pada Sukan Komanwel 1998, sekali gus melakar sejarah kerana sepanjang penyertaan negara di temasya berkenaan sebelum itu, acara olahraga tidak pernah menyumbang sebarang pingat.

Menceritakan pengalamannya, Saravan berkata beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih emas pada Sukan Komanwel dengan mematuhi setiap arahan jurulatih.

"Saya lebih bersemangat ketika itu apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secara peribadi minta saya meraih pingat emas ke-10 negara dan saya berjaya memenanginya..sebab itulah pingat emas ini cukup bermakna buat diri saya," katanya.

Pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur, Malaysia menduduki tempat keempat daripada 38 buah negara yang mengambil bahagian selepas meraih 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain