suria

Amiridzwan Yakin ATM Mampu Bangkit Kalahkan Kelantan

PETALING JAYA: Pemain pertahanan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amiridzwan Taj Tajudin berkata beliau tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukan untuk bangkit menewaskan Kelantan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Jumaat ini.

Walaupun tidak dapat beraksi menentang Kelantan akibat penggantungan dua perlawanan, beliau yakin dengan taktikal yang digunakan oleh pengendali skuad 'The Gladiators', B. Sathianathan untuk mengulangi pencapaian layak ke final Piala Malaysia sebagaimana yang dilakukan pada musim lepas.

ATM sebelum ini pernah meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di laman sendiri selama dua tahun berturut-turut selepas menundukkan pasukan Pantai Timur itu menerusi kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Super, 13 April lepas.

"Insya-Allah, saya yakin dengan rakan sepasukan untuk bangkit semula dan menang di Kelantan sekaligus layak ke final.

"Saya berharap rakan sepasukan fokus dan yang paling penting, kita manfaatkan sebaik mungkin peluang yang terhidang di depan mata," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain