suria

ATM Timbang Insentif Jika Julang Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak menolak kemungkinan untuk memberikan insentif kepada pasukan itu jika berjaya memenangi Piala Malaysia 2013.

"Insentif itu adalah perkara sampingan. Yang penting kita perlu menang saingan separuh akhir pertama pada 18 Oktober ini bersama Kelantan dahulu dan selepas itu baru boleh bincang soal insentif," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Zulkifeli merasmikan Majlis Korban Hari Raya Aidiladha di pekarangan Masjid Khalid Al-Walid Kementah di sini.

Sebanyak 26 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada penduduk setempat termasuk warga ATM.

ATM akan bertemu Kelantan Jumaat ini di Stadium Selayang.

ATM atau nama jolokannya 'The Gladiators' mara ke separuh akhir selepas menundukkan Lions XII 4-1 pada 4 Oktober lepas untuk menang agregat 5-2 dalam perlawanan suku akhir kedua.

Kelantan pula mengesahkan tiketnya menerusi kejayaan menewaskan Johor Darul Takzim dengan keputusan agregat 8-5.

Panglima ATM itu berkata, pihaknya akan bermesyuarat dengan beberapa pihak pada Rabu seperti Persatuan Bolasepak Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi membincangkan soal keselamatan ketika perlawanan itu.

"Dengan kapasiti stadium yang terhad, kita cuba sedaya upaya untuk meningkatkan keselamatan kerana ini merupakan tanggungjawab wajib untuk mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau juga meminta penyokong kedua-dua pihak agar tidak mengikut emosi ketika menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi.

"Tidak kira siapa yang menang, mereka tidak perlulah mengikut perasaan. Ini bukan lagi keputusan muktamad, nanti ada perlawanan kedua di Kota Bharu 25 Oktober ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain