suria

Chui Tepati Ramalan Kuasai Acara Renang SUKIPT

KUALA LUMPUR: Bekas perenang kebangsaan Chui Lai Kwan menepati ramalan apabila mendominasi acara renang pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Secara keseluruhan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Pemakanan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu meraih 13 pingat emas dan dua perak.

Dalam saingan acara renang yang berakhir hari ini, Chui menambah tiga lagi emas dan satu perak menerusi acara individu wanita 50m gaya bebas, 100m kuak lentang dan 200m kuak kupu-kupu serta pingat perak dalam acara 4x100m rampaian.

"Saya bangga dengan pencapaian di SUKIPT. Secara peribadi, ini kali pertama saya meraih pingat emas terbanyak dalam temasya sukan," katanya kepada pemberita.

Pencapaian Chui meletakkan UPM selaku pasukan yang meraih pingat emas terbanyak dalam acara renang iaitu 15 di samping empat perak dan sebutir gangsa.

Universiti Sains Malaysia di tempat kedua dengan tujuh emas, lapan perak dan 10 gangsa, manakala Universiti Malaya pada kedudukan ketiga dengan enam emas, lapan perak dan tiga gangsa. -BERNAMA

Artikel Lain