suria

Wong Mew Choo Bakal Menantu Kesayangan

KUALA LUMPUR: Pilihan hati Datuk Lee Chong Wei iaitu bekas pemain badminton wanita negara Wong Mew Choo, amat disenangi ahli keluarga pemain nombor satu dunia itu.

Abang Chong Wei, Lee Chong Hoon berkata seluruh ahli keluarga terutama ibu dan ayah mereka, sangat gembira apabila adik bongsunya itu akhirnya mengambil keputusan untuk mengahwini Mew Choo setelah hampir 12 tahun menjalin hubungan.

"Mak saya sangat gembira, seluruh keluarga sangat gembira dengan perkahwinan ini. Setelah sekian lama akhirnya mereka akan disatukan," katanya selepas sidang media pengumuman rasmi majlis perkahwinan pasangan itu di pejabat Chong Wei di Bandar Puteri, Puchong di sini Isnin.

Kedua-dua bakal pengantin, bagaimanapun, tidak hadir pada majlis tersebut.

Chong Hoon berkata mengikut tradisi kaum Cina pasangan itu sebaiknya tidak keseorangan ketika sebarang majlis rasmi dan oleh kerana Chong Wei masih berada di Denmark, Mew Choo tidak mengambil bahagian pada majlis kali ini.

"Mereka akan hadir bersama untuk beberapa sidang media yang akan diadakan lagi selepas ini," katanya yang juga mesra dipanggil Joe.

Sebagai antara orang yang rapat dengan pasangan itu, beliau berkata kedua-dua mereka melengkapi antara satu sama lain selain saling memahami khususnya berkaitan kerjaya sebagai pemain badminton.

"Setahu saya juga, selama ini Chong Wei tidak mempunyai teman wanita istimewa lain selain Mew Choo walaupun hubungan mereka 'on' 'off' sepanjang 11 tahun ini," katanya.

Chong Hoon berkata majlis makan malam resepsi perkahwinan akan diadakan pada 9 November (Jumaat) dan 10 November (Sabtu) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Katanya majlis pada 9 November melibatkan lebih kurang 1,000 jemputan tetamu kehormat (VIP) dan antara yang diundang ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa Menteri kabinet serta ahli-ahli korporat dari dalam dan luar negara.

"Manakala bagi malam kedua, Chong Wei akan mengadakan majlis buat kaum keluarga dan sahabat handai yang melibatkan 1,500 jemputan termasuk 500 krew bertugas.

"Kami juga buat masa ini tidak dapat menyatakan jumlah sebenar kos majlis kerana kebanyakan kos ditanggung oleh penaja," katanya.

Menurut beliau tarikh bagi majlis tersebut dipilih berdasarkan nasihat 'Master' selain mengambil kira jadual ketat pemenang perak Olimpik itu.

"Jika mengikut perancangan awal, majlis sepatutnya diadakan tahun hadapan. Bagaimanapun berikutan kematian nenek Mew Choo baru-baru ini, mengikut kepercayaan masyarakat Cina mereka dikehendaki berkahwin dalam masa 100 hari selepas kematian tersebut atau terpaksa menunggu tiga tahun lagi," jelasnya.

Beliau berkata adiknya tidak mahu menunggu tiga tahun lagi dan oleh sebab itu tarikh perkahwinan dipercepatkan.

"Tarikh bagi majlis pendaftaran perkahwinan pula akan diumumkan oleh Chong Wei sendiri tidak lama lagi," katanya lagi. - BERNAMA

Artikel Lain