suria

ATM Sasar Menangi Piala Malaysia Selepas Muncul Juara Liga Perdana

PETALING JAYA: Pasukan berstatus kelab, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan sasaran untuk memenangi Piala Malaysia selepas muncul juara Liga Perdana, Jumaat.

Skuad bimbingan B. Sathianathan itu muncul juara liga selepas membelasah MP Muar, 8-1 pada perlawanan ke-21 untuk mengutip 51 mata, berkelebihan lima mata ke atas pencabar terdekat, Pahang dengan kedua-dua pasukan masih mempunyai baki satu perlawanan.

Kejuaraan liga yang diraih oleh pasukan tersebut membolehkan mereka meraih slot automatik ke Liga Super musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata beliau yakin sasaran tersebut boleh dicapai berdasarkan persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan tersebut dalam saingan liga musim ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua para pemain dan jurulatih (B. Sathianathan kerana sasaran kita muncul juara Piala Liga Perdana tercapai.

"Sasaran kita selepas ini ialah kita mampu berjaya dalam saingan Piala Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam Jumaat.

Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi saingan Liga Super yang dijangka lebih kompetitif, Zulkifeli berharap pasukan tersebut mampu mengekalkan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh mereka pada musim ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain