suria

BAM Terima Tajaan Terbesar Dari Maybank

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menerima tajaan bernilai kira-kira RM40 juta dari Maybank untuk enam tahun akan datang, jumlah terbesar pernah diterima oleh mana-mana persatuan setakat ini.

Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nazdmi Salleh berkata selain perbelanjaan biasa, jumlah itu akan juga digunakan bagi pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.

"Penajaan daripada Maybank ini juga merupakan petanda bahawa sukan badminton telah meningkat ke taraf yang lebih tinggi," kata beliau pada Majlis Tandatangan di Menara Maybank di sini, Selasa.

Pada majlis itu, yang disaksikan oleh penaung BAM Datin Seri Rosmah Mansor, Mohd Nazdmi mewakili BAM sementara Presiden Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar menandatangani bagi pihak Maybank.

Mohd Nazdmi berkata tajaan itu juga menunjukkan bahawa sukan itu mempunyai nilai komersial yang tinggi dan telah sampai ke tahap sama dengan sukan kelas dunia lain seperti bola sepak, golf dan tenis.

Menurut Mohd Nazdmi, Maybank akan menaja RM6 juta pada awal tahun ini dan akan menambah jumlah ke RM7 juta tahun depan.

Beliau berkata penaja utama sebelum ini, Proton, akan terus menaja.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata Maybank mahu menghidupkan semula kejohanan badminton di peringkat sekolah demi menggalakkan penyertaan belia dalam sukan itu dalam usaha mewujudkan pemain pelapis kepada pasukan kebangsaan.

"Kehebatan Malaysia sebagai jaguh badminton lebih menonjol jika kita memiliki pelapis yang akan meneruskan legasi kejuaraan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain