suria

United Sahkan Pembelian David De Gea Dari Atletico Madrid

MANCHESTER: Penjaga gol Sepanyol Bawah 21 Tahun, David De Gea yang baru sahaja memenangi Kejuaraan Eropah bersama pasukannya telah disahkan sebagai pemain baru Manchester United.

United dalam satu kenyataan Rabu mengesahkan bahawa De Gea, 20, telah menandatangani kontrak untuk bermain bersama United selama lima tahun.

Bagaimanapun mereka tidak mendedahkan wang perpindahan De Gea dari Atletico Madrid.

Penjaga gol muda paling berharga itu akan mengantikan Edwin Van der Sar yang bersara.

De Gea yang digilap dari skuad remaja Atletico Madrid membuat kemunculan pertama dalam La Liga sebagai penjaga gol skuad utama pada tahun 2009.

Sejak itu namanya menjadi sebutan para penganalisa dan pengulas sukan Eropah lebih-lebih lagi setelah Atletico Madrid muncul juara Liga Eropah dua tahun lalu.

Pembelian De Gea juga dilihat sebagai yang terbaik pernah dilakukan oleh United selepas Peter Schmeichel dan Van Der Sar.

Sebelum De Gea, United telah membeli penjaga gol Denmark Anders Lindegaard November lalu. Dan di samping mereka berdua, seorang lagi penjaga gol United ialah pemain Poland, Tomasz Kuszscak.

Ketiga-tiganya adalah pemain antarabangsa untuk negara masing-masing.

Lain-lain pemain baru United untuk musim depan ialah bekas pemain sayap Aston Villa, Ashley Young dan pemain pertahanan muda Blackburn Rover, Phil Jones.

United juga kini sedang memburu pemain Arsenal Samir Nasri, pemain Tottenham Luka Modric, pemain Udinese, Alexis Sanchez dan Wesley Sneider dari Inter Milan.

Artikel Berikut

Artikel Lain