suria

Tabriz Petrochemical Muncul Juara JM 2011

NILAI: Pasukan Tabriz Petrochemical Team (TPT) dari Iran mencuri tumpuan apabila muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Jelajah Malaysia 2011 (JM2011) yang berakhir pada Ahad.

Pelumba pasukan Mehdi Sohrabi turut muncul juara keseluruhan selepas menguasai peringkat keenam dan terakhir perlumbaan dari Batu Caves, Selangor ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Bekas juara edisi 2007, Mehdi, 30, melintasi garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 175.1 kilometer itu dengan catatan masa tiga jam 59 minit 44 saat.

Selain menjuarai peringkat keenam, Mehdi juga berjaya menyarung jersi Kuning, selaku pelumba terbaik keseluruhan dan jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia, kedua-dua jersi yang dimenangi pada dua peringkat pertama.

Pasukan Iran itu dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan dan pasukan terbaik Asia, kesemua lima daripada sembilan gelaran yang menjadi rebutan dalam saingan kali ini.

Mereka mencatatkan masa terkumpul 69 jam 31 minit dan lima saat.

"Perlumbaan amat sengit dan ramai pelumba mempunyai peluang memenangi jersi Kuning. Saya mendapat sokongan rakan sepasukan untuk merampas semula jersi itu hari ini," kata Mehdi.

Sementara itu, Mohd Hariff Salleh dari pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) merangkul gelaran Raja Pecut (jersi Hijau) dengan 66 mata.

Katanya beliau dan pasukannya telah banyak menimba pengalaman dan mempelajari daripada jelajah itu.

Pasukan TSG, pasukan benua Malaysia yang baru dibentuk itu, juga muncul sebagai pasukan terbaik Malaysia dengan mengumpul catatan masa 69'52.55s diikuti skuad kebangsaan dan Kuala Lumpur.

Pelumba pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amir Mustafa Rusli, memenangi jersi Putih, selaku pelumba terbaik Malaysia, dengan jumlah catatan masa terkumpul 23'11.32s.

Gelaran Raja Bukit (jersi Merah) menjadi milik pelumba kebangsaan Muhammad Adiq Husainie Othman dengan jumlah 12 mata.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain