suria

15 Pasukan Hoki Bawah 16 Buru Piala MSN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 pasukan akan berentap untuk merebut piala Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kejohanan hoki Bawah-16 tahun yang akan diadakan di dua venue di Lembah Klang dari Jumaat ini hingga 20 Mac.

Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) Nur Azmi Ahmad berkata pertandingan itu akan berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur di Lembah Pantai dan Stadium Kementerian Pelajaran di Jalan Duta.

"Sebanyak 13 pasukan negeri kecuali Sarawak akan menyertai kejohanan ini bersama-sama Polis Diraja Malaysia. Turut serta ialah Singapura manakala Angkatan Tentera Malaysia tidak bertanding kali ini," katanya kepada pemberita di sini pada Selas.

Nur Azmi berkata pasukan yang bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan pada akhir pusingan awal, dua pasukan teratas setiap pasukan akan bermain dalam perlawanan separuh akhir secara bersilang.

Kumpulan A terdiri juara bertahan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Melaka, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah.

"Sementara Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Singapura dalam Kumpulan B," katanya.

Nur Azmi berkata sebanyak 53 perlawanan akan berlangsung termasuk separuh akhir, tempat ketiga atau keempat dan akhir sepanjang kejohanan ini.

Beliau berkata satu daripada faktor penting dalam kejohanan tahun ini ialah dua jurulatih pasukan yang mara ke perlawanan akhir akan diberikan peluang untuk menyertai pasukan Kebangsaan Bawah-16 tahun sebagai jurulatih pelatih.

Katanya MHF juga akan memilih pemain pelapis bagi skuad Kebangsaan Bawah-16 tahun daripada kejohanan itu dan mereka akan beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Tun Razak pada April dan Mei.

"Skuad itu akan mengambil bahagian dalam Jemputan Empat Negara di Manheim, Jerman dari 10-13 Jun. Tiga lagi negara ialah Jerman, Belanda dan Belgium," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain