suria

FAP Ambil Tindakan Tegas Terhadap Pemain Gagal Pamer Prestasi Konsisten

GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat pemain yang gagal menunjukkan prestasi permainan konsisten dalam saingan liga tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim berkata prestasi dan kualiti permainan yang ditunjukan pemain ketika ini ini amat memalukan sehingga ada pihak beranggapan bahawa setiap perlawanan membabitkan pasukan itu sudah dijual berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pemain ketika beraksi di padang.

Beliau berkata FAP sudah mengarahkan jurulatih untuk memberi amaran kepada pemain supaya menunjukkan perubahan dengan mempamerkan aksi yang lebih baik dalam permainan namun hasilnya amat mendukacitakan.

Pasukan Pulau Pinang sehingga kini sudah mengharungi lima perlawanan dalam saingan Liga Premier, dan pasukan itu kalah dalam kelima-lima perlawanan.

"Sungguh menghairankan pada beberapa perlawanan yang diperhatikan, pemain dapat beraksi dengan baik pada separuh masa pertama, namun pada babak separuh masa kedua mereka hilang rentak permainan dan bolos empat hingga lima gol, perkara ini bukan pertama kali berlaku tetapi beberapa kali dalam perlawanan liga premier musim ini hingga menimbulkan persoalan kepada penyokong tempatan," katanya dalam satu sidang media di sini, Ahad.

Katanya beliau melihat soal gaji pemain yang tertunggak bukan isu utama yang menyebabkan mereka bermain dengan tidak konsisten kerana FAP sudah membayar gaji kepada semua pemain seperti yang dijanjikan.

Zahrain berkata FAP turut menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantau yang diketuai bekas jurulatih pasukan, Abdul Shukor Salleh bagi mengenal pasti punca sebenar masalah berkenaan hingga pasukan itu kalah teruk terutamanya di tangan pasukan bukan handalan.

Beliau berkata jawatankuasa itu diberi mandat sepenuhnya untuk menyiasat serta mencari bukti sekiranya terdapat unsur jual perlawanan yang membabitkan pemain pasukan berkenaan.

Selain itu katanya badan pengurusan FAP akan mengadakan sesi dialog bersama Kelab Penyokong Bola sepak Pulau Pinang tidak lama lagi bagi membincangkan masalah yang melanda pasukan itu dan mencari jalan penyelesaian dalam usaha mengembalikan kepercayaan penyokong kepada pemain serta pihak pengurusan FAP pada saingan musim depan.

Sementara itu pada perkembangan lain, Zahrain berkata FAP akan mengadakan malam perdana yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April ini untuk melancarkan jersi Pulau Pinang 1Malaysia bagi mengutip dana untuk membantu kewangan FAP.

"Program itu dapat membantu menampung perbelanjaan FAP yang bermasalah setelah tidak mendapat bantuan dan pembiayaan kerajaan negeri sejak kerajaan DAP mentadbir Pulau Pinang," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain