suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ahmad Yusof Direhat, Radhi Pangku Jawatan

ALOR SETAR: Ketua jurulatih skuad bola sepak Kedah, Ahmad Yusof akan direhatkan berkuat kuasa serta merta sementara penolong jurulatih Radhi Mat Din akan memangku jawatan Ahmad bagi satu tempoh yang akan ditetapkan kelak.

Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas KFA malam tadi.

"Kita ambil berat dan kecewa dengan persembahan pasukan sebab ramai pemain kebangsaan (dalam pasukan Kedah). Harap penyokong berpuas hati beliau (Ahmad) direhatkan dulu bagi membolehkan KFA tengok dan kaji dulu perkara-perkara lain," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Para peminat kecewa dengan prestasi Kedah lebih-lebih lagi sehingga tersingkir daripada saingan awal Piala FA, Jumaat lalu.

Kedah kini turut menduduki tangga ke-10 daripada 14 pasukan Liga Super dengan hanya memperolehi satu kemenangan selepas enam perlawanan.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, sementara KFA meneliti aspek-aspek kemerosotan pasukan serta mendapat pandangan luar, para pemain juga diminta menunjukkan kesungguhan dalam setiap perlawanan seterusnya.

Beliau berkata setiap pemain akan diteliti oleh jawatankuasa tatatertib, pemeriksaan dan pemantauan.

"KFA memandang serius terhadap kemerosotan pasukan utama yang setelah mengharungi enam perlawanan Liga Super 2011, Kedah berada di tempat ke-10 daripada 14 pasukan," katanya.

Beliau berkata setelah tewas pada 4 Mac lalu kepada pasukan Felda United dalam saingan Piala FA, KFA telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi dan membuat keputusan bahawa kemerosotan pasukan juga mesti digalas bersama, di samping memberi ruang kepada semua yang terlibat memberi penjelasan terperinci serta lebih bertanggungjawab.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain