suria

Dokic Melakukan Upset Ke Atas Pilihan Utama Schiavone

KUALA LUMPUR: Jelena Dokic dari Australia melakukan upset ke atas pilihan utama Francesca Schiavone dari Itali, lantas mara ke pusingan kedua Terbuka BMW Malaysia di Bukit Kiara Equestrian & Country Club sini malam Isnin.

Walaupun tewas di set pertama, Dokic (nombor 91 dunia) memberikan tentangan hebat di set kedua mengakibatkan perlawanan berlanjutan ke rubber set.

Pemain berusia 28 tahun itu akhirnya meminggirkan pemain nombor lima dunia Schiavone 2-6, 7-6, 6-4, selepas pertarungan dua jam.

"Ini adalah permulaan yang berat bagi saya. Schiavone mula dengan agresif dan servis saya tidak berkesan.

"Tapi setelah perlawanan kedua, saya berjaya menghasilkan pukulan yang baik dan servis saya mendatangkan kesan, saya cukup gembira memenangi perlawanan ini. Kemenangan besar bagi saya," kata Dokic kepada wartawan selepas perlawanan. Beliau akan menyertai pilihan keenam Ayumi Morita dari Jepun, yang mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan Darya Kustova dari Belarus 6-2, 6-0.

Terdahulu, pemain Malaysia S. Theiviya gagal menonjol bila ditewaskan oleh Tetiana Luzhanska, Ukraine 1-6, 1-6.

Tetiana mara ke jadual perlawanan utama bersama beberapa pemain unggul Anne Kremer dari Luxembourg, Lu Jing-Jing dan Shengnan Sun dari China.

Kejohanan itu, yang memasuki tahun kedua tahun ini, menawarkan hadiah wang tunai US$220.000 (RM670, 000). - BERNAMA

Artikel Lain