suria

“Bila saya jumpa Mike, ternyata orangnya baik” - Noraniza Idris, Michael Ang sudah berdamai

Michael Ang dan Noraniza Idris sudah saling bermaafan.

SELAIN kejutan lamaran Kamal Adli terhadap teman wanitanya, pelakon Uqasha Senrose, Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) turut menjadi saksi penamat persengketaan di antara pengarah, Michael Ang dan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris.

Kedua-dua selebriti itu mengambil peluang untuk saling bermaafan di pentas AME2020 yang bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak tanya apa masalah dia dengan saya?” - Noraniza Idris ajak Michael Ang bersemuka, emosi terganggu baca komen negatif pengarah drama

Menurut Michael Ang, sejak dari awal lagi dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertemu Noraniza.

Bagaimanapun pengarah itu mengakui tidak selesa apabila statusnya sebagai mualaf dipermainkan oleh peminat penyanyi tersebut.

Bila saya jumpa Mike, ternyata orangnya baik. Jadi saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Michael atas segala apa yang berlaku sebelum ini.

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

“Saya sebenarnya tidak ada masalah untuk bertemu dengan dan minta maaf dengan Kak Ani (Noraniza), mungkin cara saya kasar dan kelihatan seperti ada masalah personal (dengan Kak Ani).

“Tetapi apabila saya meluahkan pendapat di Twitter, ia adalah luahan jujur sebagai seorang peminat program realiti dan bukannya sebagai rakan seindustri.



Noraniza Idris meluahkan hasrat untuk bertemu Michael Ang selepas persembahan dikritik pengarah tersebut.

"Lepas ini, rasanya saya tak akan berhenti berkongsi pendapat jujur itu pada masa akan datang sebab orang pun tahu mulut saya macam mana kan, ” katanya kepada mStar.

Sementara itu, Noraniza menjelaskan, hasratnya untuk bertemu Michael bukanlah untuk bergaduh atau bertikam lidah, sebaliknya dia hanya ingin mengenali peribadi pengarah drama itu secara lebih dekat.

Pelantun Dikir Puteri itu menyatakan dia sudah menjelaskan kepada peminatnya agar sentiasa menjaga tutur kata dan tidak menyentuh isu-isu sensitif dalam memberikan sebarang komen di media sosial.

“Saya nak jumpa Mike (Michael) sebab nak lihat orangnya bagaimana. Ada orang kita tengok dia lantang berkata-kata tapi hatinya tidak begitu seperti Azwan Ali.

“Bila saya jumpa Mike, ternyata orangnya baik. Jadi saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Michael atas segala apa yang berlaku sebelum ini.

“Saya juga sudah menegur peminat saya mengenai perkara ini dan pastikan mereka mengawal tutur kata serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sensitif seperti isu rasis, ” jelasnya.



Nama Noraniza Idris kembali diperkatakan selepas dia membuat kemunculan semula dalam Gegar Vaganza musim ketujuh.

Terdahulu, pada peringkat separuh akhir konsert Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Michael dilihat lantang memberikan komen persembahan Bollywood yang dinyanyikan oleh Noraniza.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan pengarah itu selepas tamat program berkenaan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang pengguna Facebook yang merupakan peminat Noraniza telah menyentuh isu status mualaf Michael dan mempersoalkan tujuan utamanya memeluk agama Islam kerana ingin mendapatkan simpati dan populariti daripada masyarakat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain