Kononnya rumah tiada elektrik, ‘Hidayah’ gagal tipu Amyza Aznan - Sensasi | mStar

Kononnya rumah tiada elektrik, ‘Hidayah’ gagal tipu Amyza Aznan

Amyza Aznan

PELAKON Amyza Aznan berang apabila cuba diperdaya oleh seorang inidvidu yang menyamar bertujuan meminta bantuan kewangan dengan alasan kesusahan hidup.

Amyza berkata, tindakan individu itu membuatkan orang hilang kepercayaan untuk bersedekah dengan ikhlas tanpa ragu-ragu.

"Saya tidak kenal dia dan tidak tahu dari mana dia dapat nombor telefon, dia beri alasan sedang berada dalam kesusahan.

"Saya bukan tidak mahu beri, saya suka bersedekah terutama pada budak-budak yang datang minta derma walaupun saya tahu ada sindiket tapi yang beri mesej seperti ini membuatkan saya rasa curiga untuk bersedekah.

"Bila membaca mesej itu timbul rasa sakit hati kerana sanggup mereka-reka cerita dan hantar video kononnya dalam keadaan rumah tiada bekalan elektrik dan tidak bekerja," ujarnya kepada mStar Online.

Amyza mendedahkan nombor telefon scammer yang minta bantuan kewangan.

Sebelum ini, pelakon itu memuat naik paparan skrin seorang individu bernama Hidayah yang meminta sumbangan dengan alasan tidak mampu untuk bekerja.

Amyza berkata, atas rasa curiga itu dia membuat semakan nombor tersebut di aplikasi mengesan nombor telefon (true caller).

Katanya, nombor telefon itu sudah dilabelkan sebagai 'scammer pinjam duit'.

"Saya sakit hati dengan cara dia menipu dan terus kesan nombor itu, ternyata dia memang scammer.

"Tolonglah, bukan saya berkira nak beri sedekah tapi cara macam ini hanya membuatkan orang rasa ragu-ragu. Kesihan dekat orang yang betul-betul memerlukan duit," ujarnya.

Perkongsian Amyza itu juga mendapat reaksi peminatnya yang turut berkongsi pengalaman sama menerima mesej berkenaan daripada individu bernama Hidayah.

Amyza Aznan , Scammer