suria

Bunga Isme pernah terfikir berhenti menyanyi, tertekan dua kali gagal dalam pengajian

Bunga pernah dua kali gagal dalam peperiksaan semester.

PENYANYI Bunga Isme pernah terfikir untuk berhenti menyanyi apabila dua kali gagal sewaktu melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda. 

Antara faktor yang membuatkan Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 25, seakan-akan mahu menyerah apabila dia sudah terlalu penat berulang alik dari rumah di Damansara ke kampus yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan. 

Kata Bunga, dia terpaksa melakukan pengorbanan itu kerana tidak mahu membiarkan ibunya seorang diri di rumah. 

"Sebenarnya saya betul-betul down sewaktu belajar. Saya pernah dua kali gagal untuk dua semester. Semester ketiga dan keempat saya ada gagal satu subjek. 

Bunga pernah terfikir untuk berhenti menyanyi.

"Bila sudah gagal kali kedua itu, saya terfikir mungkin sudah tidak boleh nak lakukan ini semua (belajar sambil menyanyi). Waktu itu saya duduk dengan mak, ulang alik dari Damansara ke Seremban setiap hari. 

"Pernah juga saya tiada kereta terpaksa naik tren. Bangun pukul 5 pagi, balik daripada kelas pukul 6 petang sampai rumah pukul 11 malam," katanya kepada mStar. 

Bunga berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran album Seharum Nama yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis.  

Dalam pada itu, Bunga memberitahu dia bersyukur kerana mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan serta semangat untuk meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. 

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-sia ulang-alik jauh pergi kelas, Bunga Isme syukur akhirnya berjaya genggam ijazah sarjana muda UiTM

ARTIKEL BERKAITAN: Kehidupan masih sama selepas kahwin, Bunga Isme lebih selesa tidak terlalu berkongsi kisah rumah tangga

"Saya rasa seperti mahu berhenti buat semuanya (menyanyi). Saya memang dah tak boleh fikir apa-apa. 

"Tapi disebabkan oleh keluarga dan rakan-rakan yang tahu saya pernah susah senang buat muzik selain selalu ingatkan kenapa saya pilih jalan (industri seni) ini. 

"Saya sudah cukup usaha dan hanya tinggal bertawakal sahaja. Kalau jatuh saya akan bangkit lagi," ujarnya. 

Malah, kehadiran suami iaitu Amzar Sabri turut memberi kekuatan untuk Bunga menghabiskan pengajian dalam masa sama meneruskan kerjaya seni. 

"Saya rasa sangat penat dan seperti sudah burn out. Saya tiada masa untuk diri sendiri. Sampai satu masa saya terlupa dah lama tak bercuti. 

Suami (kiri) antara menjadi kekuatan untuk Bunga meneruskan semangat dalam berkarya.

"Disebabkan itu selepas berkahwin saya cuba melakukan aktiviti di luar seperti berkhemah dan menikmati alam semula jadi. 

"Suami pernah pesan kita jangan bandingkan diri dengan orang lain sebab tak pernah sama. Orang lain mesti lebih baik daripada kita, jadi kita sendiri harus bandingkan dengan diri sendiri," katanya. 

Pada November tahun lalu, Bunga meluahkan rasa syukur kerana penat lelahnya membuahkan hasil apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Untuk rekod, Bunga juga merupakan lulusan Diploma Pentadbiran Perniagaan di UiTM di Seremban 3, Negeri Sembilan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain