suria

Pengalaman derita kemurungan beri Stacy idea hasilkan ‘Teriak’, mahu beri kesedaran melalui lagu

Stacy kongsi pengalaman kesihatan mental menerusi lagu Teriak.

PENYANYI Stacy muncul dengan lagu terbaharu berjudul Teriak yang membawa mesej berkaitan masalah mental yang pernah dia lalui sebelum ini.

Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 33, berkata lagu berkenaan bertujuan menyedarkan orang ramai tentang kesedaran kesihatan mental yang jarang diambil berat.

“Lagu ini menceritakan perkara yang pernah dilalui ramai orang berkaitan masalah kesihatan mental.

"Teriak juga menceritakan tentang pengalaman saya sendiri yang pernah mengalami masalah depresi dan tekanan mental.

"Cuma, bila teringat kembali peristiwa itu, saya tidak terlalu mengambil berat emosi saya ketika itu, sedangkan ia sangat penting. Saya rasa ramai orang mengalami masalah sama," katanya menerusi kenyataan kepada mStar.

DIN03504

Stacy tampil dengan lagu bergenre rock.

Kata Stacy, dia sebelum ini tidak begitu memahami tentang masalah kesihatan mental dan disebabkan itu dia memilih untuk mendiamkan diri.

Apa dilakukan ketika itu kata isteri Akim Ahmad ini, dia hanya mampu bersabar dengan tekanan jiwa dihadapi dan berharap ia akan berlalu pergi.

"Saya tak faham tentang masalah mental dan apabila mengalaminya sendiri saya hanya diam dan bersabar.

ARTIKEL BERKAITAN: Juita anggap besar hati dapat rakam lagu ciptaan Akim Ahmad dan Stacy, harap ‘Pendua’ diterima pendengar

ARTIKEL BERKAITAN: Sweet couple! Peminat suka tengok Akim Ahmad dan Stacy... “Saya sentiasa ingatkan diri bapa anak tiga”

"Sedangkan ada banyak kumpulan sokongan seperti Befrienders yang boleh dihubungi untuk membantu individu berdepan masalah kemurungan dan sebagainya," jelasnya.

Mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam industri muzik, Stacy memberitahu lirik lagu bertemakan masalah kesihatan mental itu ditulis selepas mendengar melodi terlebih dahulu.

“Saya berasakan melodi ini memerlukan lirik yang betul-betul kuat. Disebabkan lagu ini juga saya yang nyanyikan sendiri, saya mahukan lirik lagu yang lebih daripada biasa.

Saya harap orang ramai dapat faham apa isi sebenar yang ingin saya sampaikan dalam lagu terbaharu saya ini.

STACY

PENYANYI

"Ia mengambil masa agak lama juga untuk dihasilkan kerana perlu mencari lirik yang betul-betul sesuai,” katanya lagi.

Stacy yang terkenal dengan lagu rancak sehingga menerima julukkan Ratu Tari menjelaskan Teriak menampilkan genre rock yang memberikan cabaran tersendiri berbeza dengan single sebelum ini.

“Lagu ini boleh dikatakan agak mencabar kerana saya sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti ini. Dari segi teknikal pula, ia sangat memerlukan usaha yang banyak untuk dapatkan hasil terbaik.

“Saya berterima kasih kepada Akim kerana dia banyak membantu saya. Tanpa adanya bantuan daripada dia, mungkin lagu ini tidak akan menjadi," kongsinya.

SINGLE COVER

Teriak boleh mula dilayan di semua perkhidmatan striming muzik digital.

Lebih menarik lagi apabila lagu Teriak ini bakal dipersembahkan secara eksklusif pada Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Stacy, 25 Februari ini.

“Untuk konsert di DFP nanti, saya akan bawa lagu ini secara eksklusif. Jadi, memang sekarang saya banyak tumpukan perhatian untuk mempersembahkan lagu ini dengan baik. Semoga semuanya berjalan lancar.

“Saya harap orang ramai dapat faham apa isi sebenar yang ingin saya sampaikan dalam lagu terbaharu saya ini.

"Saya pernah mengalami masalah sedemikian, jadi saya mampu berikan penjiwaan sepenuhnya ketika menyampaikan lagu ini,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain