suria

Fitri Haris syukur bawa balik anak selepas enam hari di NICU, pilih nama Bilal Habibi - “Saya doa dia gunakan suara untuk azan”

Fitri kongsi wajah anak sulungnya dengan isteri, Fazilah Omar.

SELEPAS enam hari dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), penyanyi Dr Fitri Haris akhirnya meluahkan rasa syukur apabila bayinya sudah dibenarkan pulang pada Sabtu.

Fitri, 36, turut berkongsi keadaan isterinya iaitu Fazilah Omar yang kini dalam keadaan baik selepas mengalami masalah asma yang teruk ketika melahirkan bayi mereka.

Bukan itu sahaja, Fitri juga mendedahkan nama bayi sulung mereka iaitu Bilal Habibi yang diambil sempena kisah sirah para Anbiya'.

ARTIKEL BERKAITAN: Fitri Haris bengang grup anti vaksin guna berita komplikasi isteri ketika bersalin sebar dakyah - “Dahsyat mereka ada 20, 000 follower”

"Alhamdulillah, baby dah dibenarkan pulang pada tengahari Sabtu. Syukur... keadaan dia dan isteri saya pun semakin baik. Saya memilih nama anak kami, Bilal Habibi yang membawa maksud 'Bilal Kekasihku'.



Isteri Fitri selamat melahirkan bayinya pada 28 Jun lalu.

"Rasa sebak pula nak perkenalkan anak sulung kami. Bukan sebak sebab sedih tapi terlalu bersyukur dengan anugerah Allah kurniakan.

"Pilihan nama ini ilham dari-Nya, ketika itu saya bertugas menjadi seorang mutawwif membawa para jemaah mengenali kisah sirah para Anbiya’.

"Kisah Bilal sangat meruntun hati saya dan cinta Bilal kepada baginda Muhammad S.A.W sangatlah agung dan suci," kata Fitri ketika dihubungi mStar.

Sebelum ini, penyanyi nasyid itu berkongsi beberapa foto wajah cahaya mata lelakinya menerusi laman Instagram miliknya.

Saya pohon doa agar Bilal terus kuat dalam agama Allah yang suci.

FITRI HARIS

PENYANYI

Isteri kepada Fitri selamat melahirkan bayi lelaki mereka pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.07 di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menerusi laporan mStar, Fitri berkata isterinya terpaksa menjalani pembedahan dan melahirkan bayi awal dari tarikh sepatutnya disebabkan berdepan penyakit asma yang teruk.

Fitri serta isteri juga berdepan dengan dugaan apabila bayi mereka menghadapi masalah pernafasan selepas dilahirkan dan kini dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).



Fitri dan isteri masing-masing mempunyai seorang anak hasil perkahwinan sebelum ini.

Dalam pada itu, juara Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua ini juga mendoakan agar puteranya itu dapat menyebarkan ilmu agama Islam apabila sudah dewasa kelak.

"Jika anak saya dikurniakan bakat suara seperti saya, saya doakan agar dia dapat menggunakan suara sehebat Bilal melaungkan azan dan menyebarkan perintah Allah melalui suara yang diberikan.

"Saya pohon doa agar Bilal terus kuat dalam agama Allah yang suci. Saya dan isteri juga berdoa agar diberi kekuatan bukan sahaja menjaga dan membesarkan tetapi mendidik dengan penuh kesabaran mengenal agama Allah," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain