suria

Pertama kali cipta lagu, Misha Omar tak mahu syok sendiri untuk 'Tanpa Rela'

Misha Omar beranikan diri cipta lagu sendiri.

MESKIPUN sudah melakukan persiapan dan persediaan secara rapi, penyanyi Misha Omar mengakui dia tetap berasa bimbang apabila memikirkan harapan peminat yang terlalu tinggi terhadapnya.

Menurut Misha atau nama sebenarnya Samiha Omar, 38, dia bagaimanapun yakin dan percaya usahanya akan berjaya dengan sokongan daripada peminat yang dianggap sebagai kekuatannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Misha Omar meninggal dunia, peminat banjiri ucapan takziah

"Selalunya apabila sudah membuat persediaan rapi, ia memudahkan lagi tugasan sebelum melangkah ke studio rakaman. Saya pula sebaliknya.

"Saya menjadi semakin takut dan tidak senang duduk, terutama apabila memikirkan harapan tinggi yang diletakkan peminat. Ia cukup membuatkan saya resah.



Tanpa Rela merupakan single pertama ciptaan Misha.

"Namun, saya percaya, apabila sudah memberikan sepenuh hati, usaha itu harapnya dapat sampai dekat di hati peminat. Itu lebih penting kerana dorongan peminat menjadi kekuatan untuk saya berdiri selama ini," katanya.

Tanpa Rela merupakan single pertama ciptaan Misha yang ingin memenuhi kehendak peminat yang sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dalam penyampaiannya.

Tambahnya, dia membuka ruang untuk bekerjasama dengan lebih banyak pihak kerana tidak mahu hasil karya pertamanya dinilai hanya dari satu sudut.

"Untuk karya pertama ini, saya tidak mahu syok sendiri, sebaliknya saya turut membuka ruang untuk bekerjasama dengan banyak pihak kerana mahu memberikan yang terbaik kepada semua.

Kenapa tidak saya mulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.

MISHA OMAR

PENYANYI

"Jujur saya akui, saya berasa selamat kerana di sisi saya ada banyak tangan, termasuk penulis lirik berpengalaman, Slen yang sentiasa bersedia memberikan magis mereka untuk melihat Tanpa Rela mencatat kejayaan membanggakan," katanya.

Dalam pada itu, Misha memberitahu dia akhirnya yakin untuk mencuba nasib mencipta lagu sendiri selepas 18 tahun mencipta nama dalam industri muzik tanah air.

Penyanyi lagu Sampai Bila ini berkata biarpun proses untuk menghasilkan single terbaharu tersebut mengambil masa yang panjang namun dia bersyukur segalanya dipermudahkan.

"Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.



Misha (tengah) bersama Sze Wan (kiri) dan Datuk Syafinaz.(kanan).

"Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.

"Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea untuk menjalin kerjasama dalam penghasilan single terbaru ini. Saya bersyukur kerana Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari sudut komposisi lagu," ujarnya.

Misha dan Lee Sze Wan merupakan komposer bagi single Tanpa Rela dengan arahan penasihat vokal Datuk Syafinaz Selamat.

Tanpa Rela yang ditulis oleh Misha, Slen dan Zul bakal dilancarkan pada pertengahan September ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Misha Omar, Tanpa Rela

Artikel Berkaitan

Artikel Lain