suria

Gagal jawab saman... Zarina Anjoulie berjaya dapatkan penghakiman ingkar terhadap Amyza Aznan

Amyza gagal memfailkan memorandum kehadiran bagi menjawab saman yang difailkan Zarina pada tarikh ditetapkan.

PERMOHONAN pelakon Zarina Anjoulie untuk mendapatkan hak penghakiman ingkar terhadap Amyza Aznan dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta dibenarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan Zarina Anjoulie selaku plaintif berikutan Amyza atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan sebagai defendan gagal memfailkan memorandum kehadiran bagi menjawab saman itu pada tarikh yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana Amyza Aznan? Mahkamah tetapkan 10 Julai tarikh baharu pendengaran permohonan Zarina Anjoulie

ARTIKEL BERKAITAN: Amyza Aznan, Emelda tiada respons tuntutan RM4 juta, Zarina Anjoulie teruskan tindakan undang-undang

"Saman yang difailkan plaintif adalah mengikut prosedur dan teratur, namun defendan telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat," kata hakim itu.

Mahkamah juga memerintahkan Amyza membayar kos RM2,500.

Peguam mewakili Amyza iaitu Rejinder Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan penghakiman ingkar itu Isnin ini.



Zarina memfailkan saman fitnah terhadap Amyza bagi menuntut ganti rugi RM3 juta.

"Kami juga memohon kepada mahkamah untuk penggantungan prosiding kes saman sehingga pelupusan permohonan penghakiman ingkar oleh pihak kami didengar di mahkamah," katanya.

Terdahulu, Rejinder berkata anak guamnya telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman difailkan Zarina Anjoulie pada 1 Julai lalu, setelah dimaklumkan oleh peguam plaintif.

"Defendan tidak pernah menerima apa jua writ saman dan penyataan tuntutan kerana ia diserahkan di alamat yang beliau (defendan) tidak tinggal.

"Anak guam saya hanya menyedari ada satu permohonan ingkar kehadiran yang dibuat oleh plaintif setelah dimaklumkan oleh rakan media lain yang memintanya untuk memberi komen mengenai perkara itu pada 25 Jun lalu," kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Zarina Anjoulie ketika ditemui pemberita berkata plaintif akan memfailkan permohonan supaya mahkamah membuat taksiran ganti rugi berikutan keputusan hari ini.

Pada 23 April lepas, Zarina Anjoulie, 34, memfailkan saman terhadap Amyza dan mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka, dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu ‘bantuan khusus’ bagi mereka atau penggiat seni negara.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Zarina Anjoulie yang juga seorang usahawan mendakwa, beliau telah memuat naik video di laman sosial Instagramnya pada 28 Mac lepas, yang secara umum menyatakan bahawa ‘bantuan khusus’ tersebut adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak, boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Dakwanya, pada 29 Mac lepas satu kumpulan dikenali sebagai ‘BANTUAN COVID-SENI 2020’ ditubuhkan menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram, bagi membincangkan mengenai bantuan COVID-19 kepada artis tempatan, dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan itu, Amyza, 46, telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu, selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram miliknya untuk paparan umum, yang dimuat naik April lepas.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa, plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain, dan akibat kenyataan itu, beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan dan reputasinya turut tercalar.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah, permohonan maaf daripada defendan.

Selain itu, defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan, atau menjatuhkan reputasi plaintif, pada masa akan datang, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain