suria

Pengganti Hans Isaac janji majukan Finas - “Saya adalah ‘pemandu’, saya akan pastikan ‘kenderaan’ tidak tergelincir”

ZAKARIA dilantik sebagai pengerusi baharu Finas menggantikan Datuk Hans Isaac.

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu, Zakaria Abd Hamid yakin mampu menerajui badan itu sungguhpun tidak mempunyai latar belakang dalam industri seni.

Kata ahli perniagaan dan aktivitis masyarakat itu, keyakinannya lebih tinggi apabila pasukan yang dilantik bersamanya mempunyai kepakaran untuk membantunya membuat keputusan.

“Saya adalah ‘pemandu’ kepada pasukan, saya akan pastikan ‘kenderaan’ saya tidak tergelincir.

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac ‘tekan’ Ahmad Idham? Persatuan seni bongkar sikap Pengerusi Finas

“Daripada segi kepakaran, saya akan dapatkan daripada ahli lembaga pengarah dan pengurusan Finas yang mempunyai kelayakan dan pengalaman luas, ” katanya dalam sidang media pada Rabu.

Zakaria dilantik sebagai pengerusi Finas menggantikan Datuk Hans Isaac, berkuat kuasa 23 Mei 2020.

Mengulas lanjut mengenai komitmennya, Zakaria berkata dia bersedia bertemu penggiat industri seni bagi membincangkan hala tuju dan memperkasa pembangunan industri kreatif negara dalam masa terdekat.



Zakaria Abd Hamid dilantik sebagai pengerusi baharu Finas berkuat kuasa 23 Mei 2020.

Zakaria berkata meskipun masih baharu dalam organisasi itu, beliau komited dapat meningkatkan industri berkenaan ke tahap lebih baik dengan dibantu penggiat seni untuk ke fasa pemulihan melibatkan pemerkasaan polisi, galakan, perkhidmatan dan kebolehpasaran lebih-lebih lagi impak penularan COVID-19 turut menjejaskan industri itu.

“Saya komited, dalam masa seminggu ini, saya akan hubungi semua penggiat seni dalam industri sebab saya mahu dengar sendiri masalah dialami. Saya yakin mereka adalah dalam kalangan orang yang berpengalaman dan akan mencadangkan bagaimana untuk bergerak ke hadapan.

“Kami yakin akan dapat meletakkan tapak kukuh industri ini untuk ke tahap antarabangsa,” katanya.

Menerusi sidang media sama Zakaria mengumumkan senarai Ahli Perbadanan yang dilantik iaitu Datuk Prof Dr Abdul Razak Mohaideen, Datuk Norhyati Ismail, Mohammad Diah Wahari, Siti Juriani Jalaluddin, Denes Kumar Ragupathy, Dr Rose Patsy Tibok, Ku Muhammad Haris Ku Sulong dan Lina Tan Suan Jeu.

Dalam pada itu, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof turut berkongsi rasa syukur selepas dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Finas.



Eizlan turut bersyukur dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas.

"Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Saifuddin Abdullah dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia atas kepercayaan yang diberikan," tulisnya di Instagram.

Eizlan turut menjelaskan dia akan menjalankan tanggungjawab demi kemajuan warga serta industri kreatif tanah air.

"Terima kasih atas doa dan sokongan yang diberikan oleh semua.

"InsyaAllah saya akan buat yang terbaik dan termampu untuk melaksanakan tanggungjawab ini demi untuk kemajuan industri kreatif tanah air dan seluruh warga seni kreatif," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain