suria

12 puteri bakal berentap dalam ‘Dewi Remaja’ 25 November depan

Inilah antara barisan Dewi Remaja 2018/2019. FOTO: Norafifi Ehsan

KUALA LUMPUR: Lebih tiga tahun berlalu sejak gelaran Dewi Remaja disandang oleh pelakon Raysha Rizrose, kini program Pencarian Dewi Remaja kembali mencungkil bakat-bakat baharu.

Kali ini seramai 12 peserta akan berentap untuk merebut gelaran juara yang akan bermula pada 25 November depan.

Pengurus saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pertandingan itu telah melahirkan bakat-bakat besar dan membawa impak serta sumbangan pada industri hiburan tanah air.

“Menyingkap sejarah penganjuran Dewi Remaja edisi pertama lebih tiga dekad yang lalu, jenama dan legasi Dewi Remaja terbukti telah membawa impak dan sumbangan yang besar pada industri hiburan.

Dari kiri; Datuk Hans Isaas, Scha Alyahya dan Datuk Aznil yang turut terlibat dalam Dewi Remaja kali ini.

“Program realiti ini berjaya melahirkan ramai nama-nama besar. Sehingga kini pengaruhnya terus kukuh sebagai platform berprestij untuk mengenal pasti bakat-bakat besar dengan pakej komersial yang lengkap,” katanya kepada mStar Online 

Emarina ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta akhir Dewi Remaja 2018/2019 di Hard Rock Cafe di sini, Rabu.

12 peserta itu ialah Fazreen Fazera, 20, Ernisha, 23, Sherin, 23, Zeera Azizi, 22, Rasya Sofea, 22, Aween, 20, Lydia, 20, dan Rania, 19.

Turut bertanding Arena, 19, Anna Jobling, 18, Tia Shah, 18 dan Haneesya Hanee, 18.

Dewi Remaja 2018/2019 bakal bersiaran setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135) bermula 25 November depan. 

Bekas juara Dewi Remaja 2005/2006 dan pelakon terkenal Scha Al Yahya akan bertindak sebagai pengacara rancangan berkenaan.

Manakala selebriti terkenal Datuk Hans Isaac dilantik sebagai juri tetap dan seorang juri jemputan akan mengadili peserta.

Dewi Remaja

Artikel Berkaitan

Artikel Lain